Pembelian aset industri ringan di Bayan Lepas, HLIB anggar hasil Hektar REIT meningkat 7.5% pada FY25-FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian aset industri ringan di Bayan Lepas, HLIB anggar hasil Hektar REIT meningkat 7.5% pada FY25-FY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Hasil Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) bagi FY25-FY26 dianggar meningkat sebanyak 7.5% disokong pemerolehan aset industri ringan bernilai RM30 juta di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Pulau Pinang.

 

Katanya, unjuran itu adalah lebih tinggi berbanding hasil unjuran pendapatan hartanah bersih (NPI) Hektar REIT sebanyak 5.5% hingga 6% bagi FY25-FY26.

 

"Kami juga mendapati transaksi itu adil dan kukuh dari segi strategik. Dengan keluasan lantai kasar 58,348 kaki persegi, pembelian aset industri ringan ini bersamaan dengan RM514.2 kaki persegi. 

 

"Sebagai perbandingan, aset serupa di Taman Perindustrian Bayan Lepas bernilai RM529.4 sekaki persegi. Kami melihat harga pengambilalihan itu adalah munasabah," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hektar REIT beli hartanah industri bernilai RM30 juta di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas

 

Firma penyelidikan itu berkata, hartanah berharga RM30 juta, mewakili 2.2% daripada jumlah nilai aset Hektar REIT dan akan dibiayai dengan 70% hutang dan 30% tunai.

 

Katanya, dengan mengandaikan Hektar REIT meningkatkan RM21 juta kos pinjaman 5%, pengambilalihan itu dianggarkan menghasilkan peningkatan 2.2% dan 4.3% dalam pendapatan pengagihan untuk FY25 dan FY26, masing-masing.

 

"Bagi nisbah penggearan, ia akan menyaksikan sedikit peningkatan kepada 42.8% daripada 42.2% berikutan pengambilalihan itu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik unjuran pendapatan FY25-FY26 untuk Hektar REIT, masing-masing sebanyak 2.2% dan 4.3%.

 

HLIB juga menaik taraf saham kepada "pegang" pada harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu 48 sen sesaham.

 

"Kami menganggap premium itu adil, kerana kami menghargai inisiatif Hektar REIT untuk mempelbagaikan portfolio mereka daripada runcit kepada segmen seperti pendidikan dan aset perindustrian.

 

"Bagaimanapun, kami bimbang tentang profil tamat tempoh penyewaan tinggi dalam segmen runcit, dengan sebahagian besar kawasan boleh disewa bersih (NLA) dijangka tamat pada tahun-tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com