Hektar REIT beli hartanah industri bernilai RM30 juta di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hektar REIT beli hartanah industri bernilai RM30 juta di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas

Gambar/Hektar REIT
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Feb - Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) membeli sebuah hartanah industri ringan di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Pulau Pinang, dengan harga RM30 juta daripada anak syarikat milik penuh MQ Technology Bhd, Microlead Precision Technology Sdn Bhd (MPT).

 

Hektar REIT berkata, hartanah tersebut, yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan ketat pembuatan semikonduktor dan logistik, dibeli dengan diskaun 9.1% daripada nilai pasaran, yang ditentukan berdasarkan pendekatan kaedah pendapatan.

 

"Perolehan ini menjadikan portfolio Hektar REIT kepada lapan hartanah, yang kini merangkumi pusat membeli-belah dan kemudahan pendidikan," katanya dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia.

 

Perolehan berkenaan merupakan langkah penting dalam usaha mempelbagaikan operasinya dalam sektor industri, mengukuhkan kedudukannya dalam rantai bekalan pembuatan maju dan teknologi, sambil mengurangkan kebergantungan kepada aset runcit.

 

MTrustee Bhd, yang bertindak bagi pihak Hektar REIT, menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan MPT, semalam.

 

Transaksi itu dijangka selesai pada separuh kedua tahun ini.

 

Setelah selesai, MPT akan menyewakan semula hartanah berkenaan untuk tempoh 15 tahun di bawah perjanjian sewa tiga kos, dengan pilihan untuk lanjutan selama 15 tahun lagi. 

 

Sewa tersebut termasuk kenaikan sewa sebanyak 5% setiap tiga tahun.

 

Hektar REIT berkata, pengaturan sewa perjanjian sewa tiga kos dalam transaksi berkenaan memindahkan perbelanjaan berkaitan hartanah, seperti cukai, insurans dan penyelenggaraan kepada penyewa, memberikan syarikat pendapatan pasif langsung sepanjang tempoh sewa.

 

Jelasnya, syarikat akan terus meneroka peluang untuk mengembangkan portfolio dengan aset yang selaras dengan keutamaan strategiknya.

 

"Dengan memberi tumpuan kepada aset bukan runcit ke arah industri yang berkembang pesat dan kemudahan pembelajaran kritikal, kami berada dalam kedudukan yang baik dalam keadaan pasaran yang dinamik dan memberikan pulangan yang konsisten," tambahnya.

 

Perolehan itu selaras dengan usaha strategik Hektar REIT, yang menyaksikan ia membeli aset pendidikan pertama mereka, Kolej Yayasan Saad Melaka, dengan harga RM148.5 juta pada bulan Julai 2024.

 

Portfolio Hektar REIT merangkumi beberapa hartanah komersial seperti Subang Parade di Subang Jaya, Mahkota Parade di Melaka, Wetex Parade & Classic Hotel di Muar, Central Square di Sungai Petani, Kulim Central di Kulim dan Segamat Central di Segamat. - DagangNews.com