Pembatalan ART: Pembangkang desak sidang khas Parlimen bincang implikasi, hala tuju perdagangan negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembatalan ART: Pembangkang desak sidang khas Parlimen bincang implikasi, hala tuju perdagangan negara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac – Perikatan Nasional menggesa kerajaan mengadakan Sidang Khas Parlimen berhubung pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu yang menjejaskan asas undang-undang perjanjian tersebut.

 

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sidang khas itu bertujuan memberikan taklimat penuh kepada Ahli Parlimen dan peluang kepada mereka untuk membahaskan implikasi perkembangan terbaharu ini secara terbuka.

 

“Isu ini termasuk hala tuju hubungan perdagangan Malaysia dengan AS dan menjadi hak Parlimen untuk mengetahui sebarang komitmen atau konsesi yang mungkin telah diberikan dalam rundingan sebelum ini.

 

“Langkah ini penting bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, serta membolehkan Parlimen memainkan peranan dalam memeriksa hala tuju dasar perdagangan negara dan kepentingan jangka panjang ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengesahkan bahawa ART kini terbatal, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai kedudukan rundingan dan komitmen yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

 

Tambah Takiyuddin, pembatalan ini memberi impak kepada industri eksport, sektor pembuatan, rantaian bekalan dan kepastian dasar pelaburan Malaysia.

 

“Dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global yang meningkat, kejelasan dasar dan keyakinan pelabur menjadi semakin penting.

 

“Mana-mana perjanjian perdagangan strategik dengan implikasi besar terhadap dasar perdagangan dan kepentingan ekonomi negara mesti ditangani dengan ketelusan dan penelitian menyeluruh sebelum Malaysia terikat dengan komitmen antarabangsa.

 

“Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera mengenai status sebenar perjanjian ART, implikasi ekonomi dan diplomatiknya, serta langkah-langkah yang sedang dan akan diambil bagi melindungi kepentingan negara,” tegasnya.

 

Beliau berkata PN akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan memainkan peranan proaktif bagi memastikan kepentingan Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam keputusan dasar perdagangan kerajaan.- DagangNews.com