Pembangunan hab industri, langkah SD Guthrie kembangkan nilai bank tanah di Pulau Carey - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembangunan hab industri, langkah SD Guthrie kembangkan nilai bank tanah di Pulau Carey - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - Usaha sama (JV) SD Guthrie Bhd dengan Sime Property Bhd untuk membangunkan hab perindustrian dan logistik di Pulau Carey, Selangor merupakan langkah pertama ke arah membuka nilai yang masih belum direalisasikan daripada bank tanah miliknya.

 

JV tersebut dijangka melibatkan kira-kira 7% atau 809.3 hektar daripada keseluruhan 11,592.6 hektar tanah milik SD Guthrie di pulau tersebut.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) percaya keseluruhan tanah SD Guthrie di Pulau Carey bernilai sekurang-kurangnya RM6 sekaki persegi atau RM7.5 bilion, bersamaan dengan 24% daripada permodalan pasaran SD Guthrie.

 

“Namun, nilai tanah untuk bahagian JV dijangka berada pada paras premium berbanding purata RM6 sekaki persegi kerana ia berkemungkinan terletak di lokasi strategik berhampiran jalan utama" katanya dalam satu nota kajian.

 

Usaha sama itu akan membantu membuka nilai baki tanah milik SD Guthrie apabila infrastruktur di Pulau Carey terus dipertingkatkan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SD Guthrie, Sime Darby Property bangunkan Pulau Carey sebagai hab industri

 

Menurut firma penyelidikan tersebut, pulau itu kini semakin terhubung sejak siapnya Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) pada 2013 dan akan menerima rangsangan tambahan apabila jajaran selatan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) siap dibina.

 

Maybank IB berkata, tanah estet berskala besar berhampiran Pulau Carey telah dijual pada harga antara RM6.60 hingga RM19 sekaki persegi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran kewangan SD Guthrie memandangkan sebarang keuntungan daripada pelupusan tanah (dan keuntungan pembangunan seterusnya) hasil daripada JV ini dijangka hanya akan diiktiraf seawal-awalnya pada 2026.

 

Maybank IB mengekalkan saranan “beli” terhadap saham SD Guthrie dengan harga sasaran RM5.52 sesaham.- DagangNews.com