Pembangunan bercampur Sunway di Johor Bahru bakal jadi pemangkin utama pertumbuhan kumpulan - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembangunan bercampur Sunway di Johor Bahru bakal jadi pemangkin utama pertumbuhan kumpulan - penganalisis

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - RHB Research berpendapat pembangunan bercampur bersepadu baharu milik Sunway Group di Bukit Chagar, Johor Bahru bakal menjadi pemangkin utama hasil tahunan kumpulan. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, ramalannya berdasarkan lokasi strategik dan potensinya untuk memanfaatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta Stesen Pautan Sistem Transit Rapid (RTS) yang akan datang.

 

Sunway telah memeterai perjanjian induk dengan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk membangunkan tanah pegangan bebas seluas 1.73 hektar bersebelahan dengan Stesen RTS Link Bukit Chagar.

 

Perjanjian itu memberikan hak pembangunan Sunway untuk empat menara kediaman dan komersial, pusat membeli-belah runcit, tempat letak kereta, dan kemudahan park-and-ride, dengan MRT Corp berhak mendapat nilai hak pembangunan berjumlah RM450.8 juta

 

ARTIKEL BERKAITAN:MRT Corp, Sunway meterai perjanjian RM2.6 bilion bagi pembangunan hab transit Bukit Chagar

 

Penganalisis berkata kos tanah, dianggarkan RM2,447 sekaki persegi, adalah wajar memandangkan nisbah plot yang tinggi 10-12 kali ganda dan lokasi utamanya.

 

RHB Research berkata, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.6 bilion itu dapat mengukuhkan kedudukan Sunway kedudukannya di rantau Iskandar Malaysia. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan beli dengan menaikkan harga sasaran (TP) sebanyak 25% kepada RM5.77, berdasarkan nilai tambahan kepada pengiraan nilai aset bersih sebenar (RNAV).

 

"Walaupun terdapat beberapa kelemahan harga saham baru-baru ini, RHB Research melihat Sunway sebagai proksi yang kukuh untuk pasaran hartanah Iskandar Malaysia, menunjukkan perkembangan ekonomi yang berterusan di rantau ini.

 

"Pembangunan yang dirancang adalah sejajar dengan kepakaran Sunway dalam projek penggunaan bercampur, seperti yang ditunjukkan oleh perbandaran Bandar Sunway yang berjaya.

 

"Memandang ke hadapan, pembangunan itu dijangka mendapat manfaat daripada trafik rentas sempadan yang tinggi yang dijangkakan dengan penyiapan Pautan RTS pada 2027," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Dalam nota penyelidikan berasingan, MIDF Research mengakui potensi pembangunan jangka panjang yang positif tetapi banyak peningkatan telah diambil kira dalam harga saham semasa.

 

"Tabung tanah Sunway yang penting di Johor, berjumlah 282.5 hektar dengan baki GDV sebanyak RM31.9 bilion.

 

"Pelancaran Sunway City Iskandar Puteri tahun lepas mendapat minat pembeli yang kukuh, didorong oleh pemangkin daripada projek JS-SEZ dan RTS Link.

 

"Walaupun penggearan bersih Sunway diunjurkan kekal stabil pada 0.54 kali dengan  20% daripada nilai hak pembangunan akan dibayar sebagai pendahuluan, dengan baki pembayaran disusun mengikut masa," katanya.

 

Sementara itu, MIDF mengekalkan saranan neutral dengan TP sebanyak RM4.97 sesaham.- DagangNews.com