Peluang pertumbuhan modal Ann Joo Resources diyakini kukuh berikutan pembelian baki 45% saham Konsortia Etiqa - TA Securities  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peluang pertumbuhan modal Ann Joo Resources diyakini kukuh berikutan pembelian baki 45% saham Konsortia Etiqa - TA Securities 

Gambar hiasan dari laman web rasmi Ann Joo
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb - Pengambilalihan baki 45% saham Konsortia Etiqa Sdn Bhd (KESB) oleh Ann Joo Resources Bhd dilihat positif dan bakal mengukuhkan peluang pertumbuhan modal kumpulan dalam sektor perindustrian Malaysia, kata TA Securities.

 

Firma itu berkata, pembelian baki 67,500 saham daripada Pengarah KESB, Datuk Ong Tee Thong itu sejajar dengan pelan strategik kumpulan dan mengoptimumkan operasi kumpulan.

 

Terdahulunya, pengambilalihan itu yang melibatkan tanah industri KESB seluas 176.84 hektar di Kedah, dengan harga RM96 juta itu dibeli melalui anak syarikat milik penuhnya, Ann Joo Management Services Sdn Bhd (AJMS).  

 

TA Securities berkata Ann Joo sebelum ini mempunyai 55% saham dalam KESB, tetapi berikutan pengambilalihan baru-baru ini, 96% saham akan dimiliki oleh Ann Joo Management Services Sdn Bhd dan baki 4% oleh Ann Joo Steel Bhd.

 

KESB memiliki enam bidang tanah perindustrian pegangan bebas serta bangunan dan kemudahan di atasnya yang terletak di Taman Perindustrian Gurun di Kedah.

 

Taman Perindustrian Gurun itu juga dilengkapi dengan kemudahan industri termasuk sub-stesen utama 275kV.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ann Joo Resources beli 45% pegangan Konsortia Etiqa bernilai RM96 juta

 

Firma penyelidikan itu berkata, tanah bernilai RM96 juta yang mewakili 45% saham dan permodalan pasaran RM213.3 juta itu diterjemahkan kepada harga kepada nilai buku sesaham bergandaan 1.25 kali pada akhir 2023.

 

Bagaimanapun, penilaian premium itu mungkin dikaitkan dengan tanah milik KESB di Taman Perindustrian Gurun, yang mempunyai nilai buku bersih RM245.1 juta pada akhir 2023, bersamaan dengan kira-kira RM12.88 setiap kaki persegi.

 

“Satu lagi faktor positif daripada pengambilalihan itu ialah kemasukan pelaburan berskala besar bagi mewujudkan kemudahan baharu di Taman Perindustrian Gurun, khususnya daripada syarikat sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik serta automotif.

 

“Pada pandangan kami, harga tanah ini agak rendah nilainya, terutamanya jika dibandingkan dengan tanah perindustrian lain, yang lazimnya berada dalam julat harga RM25 hingga RM40 sekaki persegi, menurut laman web iProperty,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Walaubagaimanapun, TA Securities percaya pemerolehan itu mempunyai potensi besar untuk membuka kunci nilai aset tersebut.

 

Semetara itu, firma tersebut mengekalkan saranan “pegang” ke atas saham Ann Joo dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 89 sen. - DagangNews.com