KUALA LUMPUR 6 Feb - Prospek MR DIY Group (M) Bhd diramal positif didorong pelarasan gaji, mengimbangi tekanan inflasi yang mungkin memberi kesan kepada sentimen pengguna, kata UOB Kay Hian Research.
Katanya, walaupun tekanan inflasi yang tinggi menyekat perbelanjaan dan permintaan merentasi segmen golongan berpendapatan sederhana srta rendah, pelarasan gaji yang meluas seharusnya meningkatkan kembali kuasa membeli mereka.
“Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dan pelarasan gaji penjawat awam dijangka memberi RM20.4 bilion kepada kira-kira 6.1 juta individu.
“Dengan tambahan RM5 bilion yang disebut-sebut daripada skim pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peningkatan ketara kepada pendapatan boleh guna ini boleh menyokong perbelanjaan isi rumah.
"MR DIY melaporkan peningkatan jualan RM97 juta semasa skim pengeluaran KWSP RM44.6 bilion pada 2022, menggariskan potensi kesan peningkatan kecairan ini," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, lawatan baru-baru ini ke kedai KKV kumpulan dan sub-jenamanya, The Colorist in Pavilion Bukit Jalil menyaksikan peruncit itu telah meneroka beberapa inisiatif untuk jualan termasuk kerjasama dengan jenama tempatan seperti Zoe Arissa dan Bath Garden untuk menjual produknya di kedainya.
“Ia bukan sahaja meningkatkan kehadiran pelanggan tetapi juga perbelanjaan purata.
“Selain inisiatif ini, MR DIY sedang meneroka pembelian dengan pembelian, strategi promosi di mana pelanggan ditawarkan peluang untuk membeli produk tambahan pada harga diskaun, dengan syarat mereka terlebih dahulu membeli item yang layak. Ia menggalakkan penjualan tinggi dan menawarkan pelanggan persepsi nilai,” katanya.
UOB Kay Hian berkata, menurut pengurusan kumpulan itu, kadar pertukaran asing yang menggalakkan mula direalisasikan berikutan purata ketinggalan lima bulan disebabkan tahap pegangan inventorinya.
Dengan mengandaikan semua perkara lain kekal malar, firma penyelidikan itu berkata margin kasar suku pertama 2025 seharusnya mencatatkan peningkatan.
"Kekuatan berterusan ringgit berbanding yuan pada 0.6045 mewakili peningkatan 5% berbanding purata 2024 sebanyak 0.6361 dan tambahan pula, MR DIY tidak melindung nilai pembeliannya," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.35 sesaham. - DagangNews.com








