Pelancaran LMS Batch 2 kapal Tunku Laksamana Abdul Jalil simbol kebangkitan armada baharu TLDM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelancaran LMS Batch 2 kapal Tunku Laksamana Abdul Jalil simbol kebangkitan armada baharu TLDM

Pelancaran kapal Tunku Laksamana Abdul Jalil menunjukkan kemajuan memberangsangkan projek LMS Batch 2.
Fokus Berita Oleh Zaki Salleh

Pelancaran kapal pertama kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 TLDM di Istanbul Shipyard, Türkiye menjadi petanda penting bahawa agenda pemodenan armada TLDM terus bergerak mengikut perancangan.

 

Perkembangan itu hadir ketika TLDM berdepan cabaran susulan isu pembatalan jualan sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM).

 

 

 

 

 

 

Jelas, projek LMS Batch 2 tidak menjejaskan momentum pembangunan aset strategik negara.

 

Semalam, majlis penamaan dan pelancaran kapal pertama LMS Batch 2 telah disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

 

Kapal
Raja Zarith Sofiah semasa melancarkan kapal pertama LMS Batch 2 yang dinamakan Tunku Laksamana Abdul Jalil di Istanbul Shipyard.
 

 

Kapal berkenaan dinamakan Tunku Laksamana Abdul Jalil sebagai penghormatan kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil, putera keempat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.

 

Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

 

Pelancaran sesebuah kapal perang lazimnya menandakan pembinaan struktur utama telah selesai dan projek memasuki fasa integrasi sistem serta ujian sebelum diserahkan kepada pengguna akhir.

 

Dalam konteks LMS Batch 2, pencapaian tersebut memberi keyakinan bahawa jadual pembinaan yang disasarkan masih berada pada landasan tepat.

 

Malah, projek LMS Batch 2 menjadi kerjasama Government-to-Government (G2G) pertama antara Malaysia dan Türkiye dalam perolehan kapal perang TLDM.

 

Kapal

 

Kapal

 

Kapal

 

Kerjasama tersebut memperlihatkan keyakinan Malaysia terhadap keupayaan industri pertahanan Türkiye yang kini semakin menonjol di peringkat antarabangsa.

 

Pemilihan syarikat pertahanan STM sebagai kontraktor utama juga dilihat bersesuaian dengan reputasi syarikat itu dalam pembangunan kapal perang moden.

 

Berteraskan reka bentuk korvet kelas ADA, kapal LMS Batch 2 dijangka menjadi antara aset tempur permukaan paling moden dalam armada TLDM apabila mula beroperasi kelak.

 

Kapal tersebut direka untuk memperkukuh keupayaan peperangan maritim, rondaan strategik dan pengawasan perairan negara secara lebih efektif.

 

Dalam masa sama, program LMS Batch 2 turut memainkan peranan penting dalam menyokong Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM yang bertujuan menyeragamkan kelas kapal serta mengurangkan kos operasi jangka panjang.

 

Kapal
Pembinaan tiga buah kapal LMS Batch 2 yang lancar tanpa berdepan masalah menyaksikan kesemua kapal dijangka diterima TLDM menjelang akhir tahun depan.

 

Kapal

 

Pendekatan itu amat penting memandangkan TLDM ketika ini mengendalikan terlalu banyak kelas kapal dengan usia dan keupayaan berbeza.

 

Pelaksanaan projek LMS Batch 2 juga dilihat lebih tersusun berbanding beberapa projek pertahanan terdahulu yang berdepan kelewatan serius.

 

Perolehan kapal LMS Batch 2 dimeterai pada Jun 2024 dan hanya beberapa bulan kemudian, pemotongan keluli dilaksanakan di Istanbul pada 4 Disember 2024 sebelum peletakan lunas dilakukan pada tahun 2025.

 

Perkembangan pantas itu menunjukkan komitmen tinggi STM dalam memastikan projek disiapkan mengikut garis masa ditetapkan.

 

Difahamkan, kapal kedua bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat manakala kapal ketiga dijangka menyusul sebelum penghujung tahun ini.

 

Kapal

 

Kapal
Perbezaan saiz kapal LMS Batch 1 buatan China yang kecil berbanding LMS Batch 2 selain keupayaan kapal ini terhadap untuk rondaan dan pengawasan.

 

Jika momentum ini dapat dikekalkan, ketiga-tiga kapal korvet LMS Batch 2 berpotensi diserahkan kepada TLDM menjelang akhir 2027 seperti yang dijadualkan.

 

Dari sudut teknikal, LMS Batch 2 memiliki panjang keseluruhan kira-kira 100 meter dengan berat 2,500 tan.

 

Saiz itu memberikan keseimbangan antara keupayaan tempur, mobiliti dan operasi maritim jarak jauh.

 

Kapal ini mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 26 knot serta mempunyai jarak operasi lebih 5,000 batu nautika.

 

Keupayaan tersebut amat penting bagi memastikan TLDM mampu melaksanakan rondaan berterusan di Laut China Selatan dan kawasan perairan strategik negara.

 

Kapal
Kapal LMS Batch 2 mempunyai sistem persenjataan yang lebih baik termasuk peluru berpandu antikapal.

 

Kapal

 

Dari aspek persenjataan pula, LMS Batch 2 dilengkapi meriam utama 76mm, meriam sekunder 30mm serta sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan dan permukaan ke udara.

 

Konfigurasi itu menjadikan kapal berkenaan lebih berkeupayaan berbanding 4 buah kapal LMS Batch 1 yang sebelum ini menerima kritikan kerana aspek persenjataan yang terhad.

 

 

 

 

 

 

 

Walaupun isu pembatalan jualan NSM memberi sedikit kesan terhadap perancangan persenjataan asal, pembangunan platform kapal masih berjalan mengikut sasaran dan membuka ruang integrasi sistem lain pada masa hadapan.

 

Secara keseluruhannya, pelancaran Tunku Laksamana Abdul Jalil bukan sekadar simbol kemajuan projek LMS Batch 2.

 

Ia mencerminkan kesungguhan Malaysia memperkukuh pertahanan maritim melalui kerjasama strategik bersama Türkiye dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks. - DagangNews.com