KUALA LUMPUR 24 Mac - Pelan asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) direka untuk mereka yang mampu mendapatkan rawatan swasta tetapi mahukan pelan yang lebih ringkas, boleh diramal dan mudah dikekalkan, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Aznan Abdul Aziz.
Katanya, pelan asas MHIT bukan untuk semua orang, namun pemegang polisi masih boleh memilih untuk menambah perlindungan jika mereka merasakan keperluan tersebut.
"Matlamat kami adalah memastikan rakyat Malaysia mempunyai pilihan yang boleh dipercayai untuk merancang masa depan, dengan kurang kebimbangan terhadap perubahan kos atau perlindungan yang tidak dijangka.
"Ringkasnya, pelan asas MHIT mencerminkan komitmen kami untuk memastikan penjagaan kesihatan swasta kekal boleh diakses dan mampan untuk semua.
"Kami mahu rakyat Malaysia menikmati ketenangan fikiran, mengetahui bahawa mereka mempunyai pilihan yang dibina untuk jangka panjang," katanya dalam wawancara bersama The Star.
Menurut Aznan, ramai rakyat Malaysia bimbang sama ada mereka mampu menanggung kos rawatan perubatan swasta pada masa hadapan dan sama ada insurans yang mereka bayar hari ini akan terus melindungi mereka.
"Itulah sebabnya kami memperkenalkan pelan asas MHIT. Pelan asas MHIT direka untuk memberikan rakyat Malaysia pilihan insurans perubatan swasta yang mudah, boleh dipercayai dan berkekalan.
"Kami ingin mewujudkan pelan yang jelas dan mudah difahami, yang menyediakan perlindungan perubatan asas serta kekal mampu milik dalam jangka panjang," katanya.
Menurut Aznan lagi, pelas asas MHIT berdiri sendiri dan tidak digabungkan dengan mana-mana produk pelaburan.
"Jadi anda tahu dengan tepat apa yang anda bayar dan apa yang anda peroleh," ujarnya lagi.
Katanya, perlindungan di bawah pelan asas ini memberi tumpuan kepada keperluan perubatan yang paling lazim dan penting.
"Kami menetapkan had tahunan sebanyak RM100,000 berdasarkan data sebenar daripada hospital swasta tempatan. Jumlah ini meliputi kira-kira 99% daripada kes rawatan biasa, maka kebanyakan rakyat Malaysia boleh yakin bahawa mereka dilindungi apabila diperlukan.
"Dengan mengekalkan fokus perlindungan, kami dapat memastikan premium lebih stabil dan mudah diurus," tambahnya.
Aznan berkata, adalah penting juga untuk dinyatakan bahawa pelan ini bertujuan melengkapi sistem penjagaan kesihatan awam negara.
Hospital kerajaan akan sentiasa menjadi jaringan keselamatan utama bagi semua rakyat Malaysia.
Pelan asas MHIT hanyalah satu pilihan tambahan bagi mereka yang mahukan ketenangan fikiran serta fleksibiliti mendapatkan rawatan swasta.
Ia merangkumi ciri seperti bayaran bersama (co-payment) dan manfaat yang diseragamkan bagi menggalakkan penggunaan yang bertanggungjawab serta mengelakkan kos yang tidak perlu.
"Kami memahami bahawa sesetengah individu menganggap pelan insurans sedia ada rumit atau bimbang tentang peningkatan premium. Pelan asas MHIT direka untuk menjadi lebih mudah dan stabil, khususnya bagi mereka yang mahukan pelan yang boleh dikekalkan dari tahun ke tahun.
"Ia tidak bertujuan melindungi setiap kemungkinan kerana usaha berbuat demikian akan meningkatkan premium dengan ketara. Sebaliknya, ia memberi tumpuan kepada perlindungan yang bermakna bagi keperluan utama sambil mengekalkan kos yang munasabah dan memberikan hasil rawatan yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com








