KUALA LUMPUR 23 April – Kenaikan kos buruh termasuk pelaksanaan semakan semula gaji minimum pekerja dijangka merumitkan perniagaan sektor pengguna dalam keadaan krisis ekonomi ketika ini.
Kenanga Research berkata, tekanan kos itu bakal menjadi faktor utama yang menentukan daya tahan keuntungan sesebuah syarikat, dengan kecekapan pekerja dilihat sebagai pemacu penting kepada prestasi.
Pengurusan kos buruh ujar firma penyelidikan tersebut dalam nota analisisnya, kini menjadi elemen yang cukup mustahak dalam mengekalkan kadar margin terutama apabila struktur kos semakin meningkat.
"Ketika ini, gaji minimum nasional berada pada paras RM1,700 dan perlu disemak kerajaan setiap dua tahun, dengan semakan yang seterusnya pula akan dilakukan semula pada September 2026 kelak," jelasnya.
Pada masa sama tambah Kenanga, dasar seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2% bagi pekerja asing dan pelaksanaan sistem levi pelbagai peringkat dijangka meningkatkan kos operasi.
Dari segi tahap produktiviti, Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N), dan Nestlé (Malaysia) Berhad muncul sebagai peneraju utama dengan hasil setiap pekerja masing-masing sekitar RM1.35 juta dan RM1.44 juta.
Perkembangan tersebut kata firma berkenaan, mencerminkan model operasi mereka lebih efisien, namun pemain runcit seperti MR DIY Group (M) Berhad dan Aeon Co (M) Berhad mencatatkan prestasi rendah.

"Kami mendapati hasil per pekerja mereka di bawah RM460,000, disebabkan faktor kebergantungan oleh dua syarikat berkenaan yang agak tinggi kepada tenaga kerja di barisan hadapan," jelas Kenanga.
Ia turut menekankan tahap keseimbangan kritikal antara kawalan kos dan kestabilan operasi, dengan Farm Fresh Berhad dilihat lebih cekap apabila kos setiap kakitangan hanya 5.2% daripada jualan.
Sementara Power Root Berhad dan MR DIY mencatat nisbah lebih tinggi masing-masing 19.2% dan 15%, manakala bagi menangani tekanan ini, ada syarikat yang sudah mula mempercepatkan automasi operasi.
F&N kata Kenanga, melabur dalam gudang automatik yang dapat menjimatkan RM30 juta setahun, dan MR DIY memajukan fasiliti automatik bernilai RM100 juta dengan sasaran penjimatan tahunan RM10 juta.
"Selain itu, Aeon turut memperluaskan lagi penggunaan kaunter layan diri yang kini mencapai kadar penggunaan 52% dalam kalangan pelanggannya bagi tahun kewangan 2025 (FY25)," kata firma tersebut.
Secara keseluruhan, ia masih mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor pengguna, namun terus menggemari F&N sebagai saham pilihan dengan saranan ‘outperform’ dan harga sasaran (TP) RM37.70.
Kenanga turut mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas MR DIY dengan TP RM1.80, didorong kedudukannya sebagai peruncit nilai yang mendapat manfaat daripada trend pengguna berjimat cermat.
Sektor pengguna dijangka namun tetap berdepan cabaran margin dalam tempoh terdekat, dengan kejayaan syarikat bergantung kepada keupayaan mengimbangi peningkatan kos buruh. - DagangNews.com








