KUALA LUMPUR 27 Feb - Margin keuntungan Inta Bina Group Bhd FY25 berkemungkinan berdepan tekanan kesan daripada pelaksanaan gaji minimun RM1,700 dan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2% kepada pekerja asing.
TA Securities berkata, kumpulan itu memiliki lebih 1,500 pekerja asing dan menjangkakan peraturan itu akan meningkatkan peberlanjaan operasi yang dilihat akan membawa kepada penguncupan margin untung bersih.
"Namun begitu, pihak pengurusan tetap yakin dapat mengurangkan kesan ini melalui kawalan kos yang proaktif dan kecekapan operasi yang dipertingkatkan,
"Tambahan pula, projek tender masa hadapan akan mengambil kira kos tambahan ini untuk melindungi margin projek," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, hasil kumpulan pada FY24 menyaksikan peningkatan sederhana sebanyak 6.3%, didorong pengiktirafan hasil tepat pada masanya daripada buku pesanannya.
Keuntungan bersih teras mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 40.1%, didorong projek pembinaan margin lebih tinggi yang baru dicagarkan ditambah dengan pengurangan kos input dan perbelanjaan cukai.
Firma penyelidikan itu berkata, Inta Bina berhasrat mengembangkan kehadirannya di Johor dan memanfaatkan potensi kesan limpahan daripada Zon Ekonomi Khas Johor-SG (JS-SEZ).
Katanya, bagi memudahkan urusan itu, kumpulan itu aktif mengambil bahagian dalam tender untuk projek baharu di wilayah selatan.
Semenrtara itu, pengambilan tanah baru-baru ini di Bukit Jelutong, yang dijangka siap pada 1HFY25, Inta Bina merancang membangunkan projek bercampur yang terdiri daripada lot kedai komersial dan kediaman servis, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM220 juta.
"Ia menandakan projek pembangunan hartanah kedua, selepas pelancaran sulung Senuri Residences pada 2023.
"Pembangunan baharu itu dijangka dilancarkan menjelang akhir 2025, dengan semua kelulusan yang diperlukan telah disediakan," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 87 sen sesaham.- DagangNews.com








