PUTRAJAYA 25 Mei – Kerajaan yakin pelaksanaan mandat biodiesel B15 yang bermula 1 Jun 2026, tidak akan menjejaskan bekalan minyak sawit di pasaran tempatan atau jumlah eksport negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, analisis terperinci sudah dibuat memastikan bekalan domestik mencukupi meskipun berlaku peningkatan campuran biodiesel itu.
Menurut beliau, Malaysia kebelakangan ini sudah mampu menghasilkan sekitar 20 juta tan metrik minyak sawit setahun, dengan sejumlah 16 juta tan metrik daripadanya adalah untuk tujuan eksport.
"Maknanya ada lebihan yang kita gunakan dalam negara sebanyak empat juta tan metrik, dan daripada jumlah itu, penggunaan untuk B15 hanyalah 0.8 juta tan metrik," jelasnya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada acara Taklimat Media Berhubung Penggunaan Biodiesel B15 oleh Setiausaha Bahagian Biojisim dan Bioapi Bahan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Ir Ts Dr Sang Yew Ngin.
Noraini mengulas kebimbangan segelintir pihak tertentu mendakwa kononnya pelaksanaan biodiesel B15 secara tergesa-gesa untuk kenderaan menyebabkan stok minyak sawit dalam negara terus berkurangan.
Sebaliknya beliau meminta pengguna tidak perlu khuatir kerana inventori domestik masih lagi cukup, serta tidak mengganggu eksport, selain dasar itu sudah lama dirancang dan bukannya perkara baharu.
"Keputusan penetapan kadar B15 itu dibuat selepas rundingan bersama industri yang melihatnya angka paling sesuai buat masa ini tanpa perlu dinaik taraf segera kepada fasiliti sedia ada," katanya.

Pada ketika ini kata Noraini, stesen minyak menawarkan B10 sejak 2019, kecuali di Langkawi, Kedah selain Labuan dan Sarawak, tidak termasuk Bintulu, yang sudah lama menyediakan B20 mulai 2020.
Pelaksanaan B15 merupakan langkah strategik kerajaan memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui pengurangan kebergantungan terhadap diesel dan menggalakkan penggunaan sumber lebih mesra alam.
Program Biodiesel Negara yang diperkenalkan sejak 2006 ujar Noraini, dilaksanakan berperingkat dan terus diperkasa selaras agenda peralihan tenaga negara dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
Dalam perkembangan berkaitan, Noraini memaklumkan kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM42 juta bagi fasa pertama untuk menaik taraf fasiliti loji ke arah pelaksanaan biodiesel B20.
"Ketika ini terdapat sejumlah 34 depoh pengadunan biodiesel seluruh negara dan bagi fasa kedua, kementerian sedang memohon peruntukan tambahan yang dianggarkan berjumlah RM56 juta," jelasnya.
Langkah berkenaan kata beliau, dijangka dapat menaik taraf segera beberapa terminal pengagihan bekalan biodiesel, terutamanya di Terminal Pengedaran Lembah Klang (KVDT) berdekatan Putrajaya.
Tambah beliau, sasaran kementerian itu adalah untuk bergerak ke arah pelaksanaan yang lebih tinggi sehingga B30 secara berperingkat menjelang 2030 mengikut mandat yang ditetapkan oleh kerajaan.
Pada masa sama ujar Noraini, bekalan diesel di nozel biru masih lagi kekal menggunakan B7, manakala pelaksanaan B15 melibatkan bekalan diesel di nozel hitam secara berperingkat mulai bulan depan.
"Kita akan terus bekerjasama rapat dengan semua kementerian, agensi berkaitan dan pemain industri bagi memastikan pelaksanaan B15 berjalan lancar serta memanfaatkan rakyat," katanya. - DagangNews.com








