Pelaburan Singapura di Johor kekal rancak, sektor digital dan semikonduktor jadi tarikan utama – MIDA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan Singapura di Johor kekal rancak, sektor digital dan semikonduktor jadi tarikan utama – MIDA

KUALA LUMPUR 14 April – Johor terus mencatat aliran masuk pelaburan yang kukuh dari Singapura, didorong oleh kelebihan strategik negeri itu dalam menarik pelabur merentas sempadan, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Pengarah MIDA Singapura, Vinothan Tulisinathzan berkata, antara sektor utama yang menjadi tumpuan pelabur republik itu ialah ekonomi digital, semikonduktor serta makanan dan minuman (F&B).

 

Menurutnya, dalam segmen ekonomi digital, peluang pelaburan di Johor merangkumi penyedia teknologi digital seperti blockchain dan kecerdasan buatan (AI), selain penyedia infrastruktur digital.

 

“Bagaimanapun, kita melihat momentum lebih ketara dalam kalangan penyedia infrastruktur digital, khususnya pemain pusat data.

 

“Johor menunjukkan daya tarikan yang sangat baik dalam menarik pelaburan pusat data, namun kini kita lebih selektif dengan memberi tumpuan kepada pusat data berasaskan AI dan cekap tenaga,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan meja bulat bertajuk “How Johor and Singapore are reshaping cross-border investment” yang dianjurkan oleh Singapore Press Club dan Johor Economic, Tourism and Cultural Office Singapore (JETCO), baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, beliau berkata MIDA turut menyaksikan peningkatan minat daripada syarikat semikonduktor Singapura untuk melabur di Johor, melibatkan kedua-dua segmen huluan dan hiliran.

 

“Momentum ini turut dipacu oleh syarikat dalam rantaian bekalan yang beroperasi sebagai pemain peringkat pertama dan kedua,” jelasnya.

 

Selain itu, sektor F&B juga menunjukkan perkembangan positif apabila pengendali dari Singapura mula mengembangkan operasi ke Johor Bahru susulan peningkatan kos operasi di negara asal.

 

“Ada syarikat yang mengekalkan ibu pejabat di Singapura tetapi menubuhkan dapur pusat di Johor dengan pensijilan halal, sekali gus meningkatkan keupayaan eksport ke pasaran serantau dan Timur Tengah,” katanya.

 

Turut hadir pada program tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Azfar Mohamad Mustafar dan Pengerusi Eksekutif JETCO Datuk Seri Hasni Mohammad. - BERNAMA