KUALA LUMPUR 7 April - Gelombang pelaburan pemasangan tempatan (CKD) kenderaan elektrik (EV) di Malaysia kekal utuh secara struktur, tanpa mengira hasil rundingan antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan BYD Co Ltd berhubung cadangan pelaburan di Tanjung Malim, kata BIMB Securities.
Menurut firma penyelidikan itu, Malaysia hampir pasti muncul sebagai hab pembuatan EV serantau, dengan persoalan utama kini beralih kepada pihak mana yang akan meraih manfaat paling cepat dan mampan dalam landskap industri yang sedang berubah ke arah pemasangan CKD berorientasikan eksport dan bernilai tinggi.
“Persoalan pelaburan sebenar kini bukan lagi sama ada Malaysia akan menjadi hab EV (kerana) ia hampir pasti. Fokus kini adalah kepada pemain yang mampu memanfaatkan peluang ini secara optimum,” katanya dalam laporan sektor.
BIMB Securities berkata, selain BYD, beberapa pengeluar automotif China lain turut mempergiat pelaburan di Malaysia, termasuk Chery Automobile Co Ltd yang sedang membangunkan taman industri automotif pintar berskala besar.
Pada masa sama, SAIC Motor Malaysia Sdn Bhd telah memulakan pemasangan unit CKD bagi jenama MG di Melaka, manakala Xpeng Group pula menjalinkan kerjasama dengan EP Manufacturing Bhd untuk memulakan pengeluaran EV tempatan.
Menurut BIMB Securities, rundingan antara BYD dan MITI masih berjalan dan belum dimuktamadkan, justeru projek di Tanjung Malim dilihat sebagai potensi tambahan dan bukannya pemacu utama kepada sektor.
Katanya, syarat ditetapkan MITI bertujuan memastikan Malaysia berfungsi sebagai hab pembuatan dan bukannya pasaran lambakan model kos rendah, di samping melindungi industri automotif tempatan.
“Syarat eksport memastikan integrasi dalam rantaian bekalan global, manakala harga lantai pula mengelakkan persaingan langsung dengan model mampu milik keluaran tempatan seperti Perodua,” katanya.
MITI menetapkan beberapa syarat utama di bawah lesen pembuatan interim yang diberikan kepada BYD, termasuk keperluan supaya sehingga 80% pengeluaran diperuntukkan bagi pasaran eksport.
Selain itu, kenderaan yang dijual di pasaran tempatan perlu mempunyai harga atas jalan minimum RM100,000.Menurut BIMB Research, syarat tersebut
Dalam pada itu, BIMB Securities menegaskan pemain infrastruktur EV dijangka terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri tersebut, tanpa mengira pengeluar mana yang mendahului.
Firma itu mengekalkan penarafan “neutral” terhadap sektor automotif, dengan saranan “pegang” bagi Sime Darby Bhd (harga sasaran RM2.46) dan MBM Resources Bhd (harga sasaran RM5.28).
Bagaimanapun, ia mengekalkan saranan “jual” ke atas Bermaz Auto Bhd dengan harga sasaran 68 sen sesaham. - DagangNews.com








