Pelaburan besar CTOS dalam teknologi awan, AI berisiko ancam perolehan jangka pendek – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan besar CTOS dalam teknologi awan, AI berisiko ancam perolehan jangka pendek – HLIB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 April – Kenaikan kos operasi susulan pelaburan besar dalam teknologi awan dan kecerdasan buatan (AI) berisiko menekan perolehan jangka pendek CTOS Digital Berhad sendiri. 


Hong Leong Investment Bank (HLIB) namun berpandangan, syarikat pengurusan data kredit itu masih lagi mampu mencatat pertumbuhan hasil dua digit dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang.


Firma itu berkata, kumpulan tersebut sedang beralih daripada model tradisional kepada platform pintar bersepadu yang bernilai tinggi, sejajar dengan peningkatan permintaan rumusan pengesanan penipuan.


“Peralihan ini didorong integrasi sistem CTOS lebih mendalam dalam aliran kerja pelanggan, beralih daripada model jualan laporan secara transaksi kepada hasil berulang yang amat stabil,” katanya.


Menurut HLIB dalam nota analisisnya, syarikat berkenaan turut menyasarkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pendapatan antara 10% hingga 12% bagi tempoh tiga tahun akan datang.


Langkah itu ujarnya, disokong strategi jualan silang alat analitik dan rumusan dalam pembuatan keputusan, tetapi berdepan perbelanjaan pentadbiran naik 14.1% tahun ke tahun (YoY) pada FY25.


Peningkatan tersebut jelasnya, berikutan pelaburan awal CTOS dalam migrasi awan dan pembangunan AI, yang menyebabkan nisbah kos kepada pendapatan turut meningkat kepada sebanyak 46% tahun lalu.

 

CTOS_DagangNews


"Kumpulan ini namun menyasarkan nisbah itu dapat dikurangkan kepada 40% menjelang 2028 apabila kecekapan operasi direalisasikan, dan menambah pulangan ke atas ekuiti kepada 18%," kata HLIB.


Selain it, firma penyelidikan tersebut melihat Akta Kredit Pengguna 2025 sebagai pemangkin penting pertumbuhan, apabila pemberi pinjaman bukan bank diwajibkan untuk memformalkan data kredit mereka.


Langkah ini ujarnya memperluas pasaran sasaran, dan CTOS berada pada kedudukan baik memanfaatkan peluang berkenaan melalui platform Fraud ID Guard serta keupayaan data alternatif dimilikinya.


Selain sektor perbankan kata HLIB, ia giat memperluaskan penawaran ke segmen kewangan bukan bank, dengan fokus kepada rumusan digital bernilai tinggi yang mampu meningkatkan kualiti pendapatan.


"Pada masa sama, kumpulan berkenaan dijangka mengekalkan pegangan pasaran sekitar 73%, sambil ia membuka peluang penjanaan pendapatan baharu dalam segmen pelanggan bagi data terhad," tambahnya.


Keterlihatan pendapatan jangka pendek CTOS namun masih terjejas oleh beberapa faktor, termasuk insentif cukai perintis tamat pada November 2026 yang dijangka meningkatkan kadar cukai efektif.


Sehubungan itu, HLIB menaik taraf penarafan saham kumpulan tersebut kepada ‘beli’ daripada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 89 sen, berbanding harga dagangan semasa sekitar 68 sen.


Secara keseluruhan, walaupun berdepan tekanan kos, transformasi strategik syarikat ke arah platform digital dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan mampan jangka panjang. - DagangNews.com