Pelabur REIT beralih ke saham dividen tinggi berikutan pemansuhan cukai pegangan tetap jejaskan pulangan – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur REIT beralih ke saham dividen tinggi berikutan pemansuhan cukai pegangan tetap jejaskan pulangan – HLIB

Gambar hiasan
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 April — Daya tarikan sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) lemah berikutan pemansuhan cukai pegangan (WHT) yang berkadar tetap, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).


Firma penyelidikan tersebut menambah, ketiadaan cukai dengan kadar 10% itu kini sudah mula menekan pulangan selepas cukai dan mendorong pelabur beralih kepada alternatif saham yang berdividen tinggi.


Perubahan dasar berkenaan ujarnya, turut menyebabkan penyusutan jurang hasil berbanding kelas aset yang lain, sekali gus mendorong penurunan penarafan sektor REIT daripada 'overweight' kepada 'neutral'.


“Meskipun asas pendapatan sektor REIT masih stabil, pulangan selepas cukai lebih rendah memerlukan penilaian semula bagi mengekalkan daya tarikan kepada pelabur hartanah,” kata HLIB dalam notanya.


Menurutnya, saham sektor perbankan ketika ini menawarkan pulangan selepas cukai sekitar 5% hingga 5.5% bagi 2026 dan 2027, mengatasi sektor REIT sendiri selepas perubahan kadar cukai WHT tersebut.


Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila dibandingkan dengan pasaran serantau seperti Singapura yang menawarkan layanan cukai menarik terhadap REIT, termasuk pengecualian cukai bagi pelabur individu.

 

sektor REIT_DagangNews
Gambar hiasan



Pada masa sama, peningkatan jangkaan kadar faedah menjejaskan sentimen sektor apabila hasil bon kerajaan Malaysia 10 tahun naik kepada 3.6%, didorong kebimbangan inflasi akibat konflik global.


“Perkembangan negatif sebegini didapati mengecilkan lagi jurang pendapatan syarikat-syarikat terbabit dan dikhuatiri boleh melemahkan daya tarikan relatif ke atas saham-saham sektor REIT,” jelas HLIB.


Walaupun berdepan tekanan tersebut, firma penyelidikan berkenaan menegaskan pendapatan REIT masih disokong oleh semakan kadar sewa, pemerolehan aset baharu serta strategi kitar semula aset lama.


Peningkatan kos operasi katanya, namun dijangka terus mengehadkan pula potensi kenaikan kadar sewa bulanan, khususnya bagi penyewa yang didapati sudah pun menghampiri tamat tempoh pajakan mereka.


Sehubungan itu, HLIB memilih Pavilion REIT dan Axis REIT sebagai kaunter utama dalam sektor tersebut, berikutan kekuatan asas dan prospek pertumbuhan dua syarikat ini yang masih lebih stabil.


"Secara keseluruhan, kami melihat sektor REIT kekal kurang menarik berbanding yang lain dalam persekitaran kadar faedah tinggi dan perubahan dasar cukai semasa," katanya. - DagangNews.com