Pelabur asing jual RM912.6 juta saham Bursa Malaysia minggu lalu, sektor pengguna paling terjejas - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual RM912.6 juta saham Bursa Malaysia minggu lalu, sektor pengguna paling terjejas - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mei - Sentimen pelabur asing terhadap Bursa Malaysia kekal berhati-hati apabila institusi asing meneruskan aktiviti jualan bersih bagi minggu kedua berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM912.6 juta, menurut MBSB Research.

 

Sepanjang minggu dagangan lalu, pelabur asing merekodkan jualan bersih pada kesemua lima hari dagangan dengan aliran keluar terbesar dicatatkan pada Rabu sebanyak RM329.2 juta, diikuti Selasa (RM256.5 juta), Khamis (RM156.5 juta), Isnin (RM106.3 juta) dan Jumaat (RM64.2 juta).

 

Dari segi sektor, hanya tiga sektor berjaya menarik minat belian asing iaitu sektor Teknologi yang mencatat aliran masuk bersih RM79.2 juta, diikuti Pengangkutan & Logistik (RM57 juta) serta Tenaga (RM1.3 juta).

 

 

 

 

 

 

Sebaliknya, sektor Produk & Perkhidmatan Pengguna merekodkan aliran keluar asing tertinggi sebanyak RM347.4 juta, diikuti Utiliti (RM214.7 juta) dan Penjagaan Kesihatan (RM180.7 juta).

 

Dalam pada itu, institusi tempatan terus memainkan peranan sebagai penyokong utama pasaran apabila melanjutkan aktiviti belian bersih kepada enam minggu berturut-turut dengan jumlah aliran masuk RM572.9 juta.

 

Pelabur runcit turut kekal aktif apabila mencatat belian bersih bagi minggu kedua berturut-turut berjumlah RM339.7 juta

.

 

 

 

 

 

Dari sudut aktiviti dagangan, purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat merentasi semua kategori pelabur dengan institusi asing mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 7.3%, diikuti institusi tempatan (+5.5%) dan pelabur runcit (+0.7%).

 

Perkembangan itu menunjukkan sentimen pelabur domestik masih kekal menyokong pasaran tempatan meskipun pelabur asing terus mengambil pendekatan berhati-hati susulan ketidaktentuan ekonomi global dan hala tuju kadar faedah antarabangsa.  - DagangNews.com