Pelabur asing jual RM203.2 juta ekuiti tempatan untuk minggu ke-17 berturut-turut, kata MIDF Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual RM203.2 juta ekuiti tempatan untuk minggu ke-17 berturut-turut, kata MIDF Research 

Gambar hiasan dari freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Pelabur asing melanjutkan penjualan ekuiti di Bursa Malaysia pada minggu ke-17 berturut-turut dengan mencatat aliran keluar dana sebanyak RM203.2 juta, kata MIDF Research. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing menjadi penjual bersih pada Khamis dan Jumaat minggu lalu.

 

Katanya, mereka mencatat aliran keluar dana terbanyak pada Khamis sebanyak RM132.3 juta. 


“Di samping itu, aliran masuk dana pada Isnin dan Rabu, masing-masing mencecah RM24.6 juta dan RM14.3 juta. 

 

“Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah pembinaan (RM64.9 juta), produk & perkhidmatan pengguna (RM38.4 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM17.3 juta).

 

"Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM151.1 juta), tenaga (RM103.1 juta) dan penjagaan kesihatan (RM69.9 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir pada 14 Februari 2025. 

 

Sebaliknya, MIDF berkata, institusi tempatan terus menyokong Bursa Malaysia dengan pembelian bersih berjumlah RM77.9 juta dalam ekuiti domestik pada minggu lepas.

 

"Institusi tempatan membeli bersih dua daripada lima hari dagangan minggu lepas, dengan aliran masuk bersih pada Khamis dan Jumaat masing-masing berjumlah RM110.5 juta dan RM70.8 juta.

 

"Pelabur runcit tempatan beralih menjadi penjual bersih pada minggu lepas di Bursa Malaysia, dengan mencatat aliran masuk bersih RM125.3 juta," katanya. 

 

Firma tersebut berkata, ia mewakili pembelian bersih minggu kelima berturut-turut pada 2025.

 

"Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan pada minggu lepas.

 

"Sementara itu, pelabur asing menyaksikan peningkatan sebanyak 9.5% manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan juga melonjak masing-masing sebanyak 9.9% dan 7%," katanya.  - DagangNews.com