Pelabur asing jual RM169.4 juta ekuiti Malaysia bagi minggu ke-16 berturut-turut, kata MIDF Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual RM169.4 juta ekuiti Malaysia bagi minggu ke-16 berturut-turut, kata MIDF Research 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb - Pelabur asing kekal menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia bagi minggu ke-16 berturut-turut dengan mencatat kadar aliran keluar lebih perlahan pada RM169.4 juta daripada RM503.3 juta minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata, pelabur asing menjual ekuiti Malaysia pada setiap hari dagangan minggu lepas kecuali Jumaat.

 

Firma penyelidikan itu berkta, aliran keluar terbesar berlaku pada hari Isnin, berjumlah RM151.9 juta, manakala Selasa, Rabu, dan Khamis menyaksikan aliran keluar yang lebih kecil masing-masing sebanyak RM18.5 juta, RM65.1 juta dan RM27.1 juta.

 

 


Bagaimanapun, katanya, pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih pada Jumaat, apabila Bursa Malaysia mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM93.2 juta.

 

"Tiga sektor yang menarik kemasukan aliran dana masuk asing tertinggi termasuk sektor perkhidmatan kewangan pada RM117.2 juta, diikuti oleh pembinaan pada RM111.0 juta dan teknologi pada RM77.6 juta. 

 

"Sebaliknya, sektor utiliti mengalami aliran keluar bersih terbanyak iaitu pada RM181.4 juta, manakala sektor produk & perkhidmatan perindustrian dan tenaga masing-masing mencatatkan aliran keluar RM92.7 juta dan RM61.2 juta," katanya dalam laporan aliran dana berakhir pada 21 Februari 2025. 

 

Walaupun pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia, pelabur institusi tempatan terus menjadi pembeli bersih dengan jumlah pembelian berjumlah RM194.2 juta, menandakan rentetan minggu ke-16 berturut-turut. 

 


Pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih pada tiga daripada lima hari dagangan, dengan Isnin, Rabu dan Khamis menyaksikan aliran masuk masing-masing pada RM130.8 juta, RM85.4 juta dan RM35.3 juta. 

 

MIDF berkata, sementara itu, pelabur runcit tempatan menamatkan rentetan pembelian empat minggu mereka dan menjadi penjual bersih, melupuskan RM24.8 juta ekuiti. 

 

Katanya, ini menandakan minggu kedua berturut-turut penjualan bersih mereka pada tahun 2025.

 

"Aktiviti dagangan menunjukkan aliran bercampur-campur merentasi kumpulan pelabur berbeza.

 

"Purata volum dagangan harian (ADTV) menurun sebanyak 8.7% bagi pelabur asing, manakala institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 7.8% dan 1%. 

 

"Walaupun pelabur asing kekal berhati-hati, institusi tempatan terus menyokong pasaran, membantu menstabilkan Bursa Malaysia di tengah-tengah aliran keluar modal yang berterusan," katanya. - DagangNews.com