Pelabur asing jual ekuiti RM1.25 bilion di Bursa Malaysia, minggu ke-22 berturut-turut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti RM1.25 bilion di Bursa Malaysia, minggu ke-22 berturut-turut

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - Pelabur asing meneruskan rentak jualan bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ke-22 berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.25 bilion pada minggu lalu.

 

MIDF Research berkata, jumlah itu bagaimanapun lebih kecil berbanding RM1.24 bilion yang dicatat pada minggu sebelumnya.

 

Katanya, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan Rabu menyaksikan aliran keluar paling tinggi sebanyak RM484.23 juta.

 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada hari-hari lain, aliran keluar adalah antara RM155.34 juta hingga RM326.4 juta.

 

"Satu-satunya sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah perladangan (RM2.4 juta). 

 

"Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM609.7 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (RM167.9 juta) dan produk & perkhidmatan pengguna (RM148.4 juta)," katanya dalam satu nota aliran dana berakhir 21 Mac 2025, hari ini.

 

MIDF Research berkata, institusi tempatan kekal teguh dalam menyokong pasaran, menandakan aliran masuk pembelian bersih sebanyak RM1.23 bilion minggu ke-22 berturut-turut.

 

Sementara itu, pelabur runcit tempatan melanjutkan rentetan belian bersih untuk minggu keenam berturut-turut, mencatat aliran masuk bersih RM25.5 juta.

 

Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan secara meluas, kecuali pelabur asing.

 

Institusi tempatan dan peruncit tempatan mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 11.9% dan 14.8%, manakala pelabur asing menyaksikan peningkatan sebanyak 27.4% - DagangNews.com