Pekerja tempatan tidak mahu sertai skim LINDUNG 24 Jam perlu isi borang khas mulai 13 Julai - PERKESO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekerja tempatan tidak mahu sertai skim LINDUNG 24 Jam perlu isi borang khas mulai 13 Julai - PERKESO

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai – Bermula Isnin ini (13 Julai), pekerja tempatan yang ingin dikecualikan daripada Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) boleh berbuat demikian menerusi kemudahan 'opt-out' secara dalam talian yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pelaksanaan kemudahan itu dibuat susulan keputusan Jemaah Menteri dan arahan Menteri Sumber Manusia yang mengubah dasar LINDUNG 24 Jam bagi pekerja tempatan, manakala pelaksanaan skim itu kekal mandatori untuk pekerja asing.

 

Beliau berkata, pencarum yang memilih untuk tidak meneruskan perlindungan di bawah LINDUNG 24 Jam perlu melengkapkan serta menandatangani perakuan pelepasan liabiliti sebagai syarat untuk dikecualikan daripada skim berkenaan.

 

Katanya, perakuan tersebut akan menjadi asas perundangan sekiranya berlaku sebarang pertikaian pada masa hadapan, khususnya membabitkan kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja.

 

"Memandangkan LINDUNG 24 Jam ini dikuatkuasakan menurut peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), pencarum yang tidak berhasrat menyertainya perlu menandatangani perakuan pelepasan liabiliti untuk dikecualikan daripada pemakaian akta ini.

 

"Ini bagi memastikan tiada sebarang implikasi perundangan di bawah Akta 4 jika berlaku kemalangan atau kecederaan kepada pencarum di luar waktu kerja," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada masa sama, Dr. Mohammed Azman menggalakkan pekerja tempatan supaya terus mencarum dalam LINDUNG 24 Jam kerana skim itu mampu menyediakan perlindungan pendapatan kepada pencarum dan keluarga sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.

 

Menurut beliau, statistik PERKESO menunjukkan purata 27 kes sehari menerima faedah LINDUNG 24 Jam dengan jumlah bayaran hampir RM2 juta dalam tempoh sebulan skim itu berkuat kuasa, berbanding sekitar 13 permohonan sehari yang ditolak pada 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja.

 

Beliau berkata, perubahan dasar yang membolehkan pekerja tempatan memilih untuk keluar daripada skim berkenaan berkemungkinan memberi kesan terhadap dana dan keberkesanan penyaluran faedah dalam jangka panjang, justeru kajian semula mekanisme pelaksanaannya bersama Kementerian Sumber Manusia akan dilaksanakan menjelang penghujung tahun ini.

 

Tambah beliau, PERKESO akan terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran mengenai manfaat LINDUNG 24 Jam supaya pekerja dapat membuat keputusan yang tepat demi melindungi kebajikan diri dan keluarga, selaras dengan peranan agensi itu dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara. - DagangNews.com