KUALA LUMPUR 10 Julai — Dua tender baharu berkaitan pusat data (DC) yang diperoleh Pekat Group Berhad diyakini mampu menyumbang keuntungan selepas cukai (PAT) mencecah hingga RM6 juta.
Menurut analisis Phillip Capital, untung bersih itu dijangka sepanjang FY26 hingga FY27 dengan margin sekitar 10% hingga 12%, sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan syarikat tersebut.
Bagaimanapun ujarnya, persaingan industri serta risiko kelewatan pelaksanaan projek kekal menjadi cabaran perlu diberi perhatian pelabur di tengah-tengah kepesatan pembangunan DC di Malaysia.
"Kontrak itu mengukuhkan prospek Pekat sebagai antara penerima manfaat utama ledakan DC negara, dengan menguasai 50% pasaran sistem pembumian dan perlindungan kilat (ELP) domestik," katanya.
Justeru, Phillip Capital dalam analisisnya mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) RM2.15 sesaham berdasarkan penilaian kaedah jumlah bahagian (SOP).
Jelasnya, kontrak pertama bernilai RM20 juta bagi sistem ELP untuk sebuah DC di Negeri Sembilan, manakala kedua pula RM27 juta melibatkan pemasangan sistem ELP bagi sebuah lagi DC di Johor.

Dengan tambahan tender itu, jumlah kontrak baharu dimenangi Pekat setakat tahun ini naik kepada RM260 juta, iaitu 43% daripada sasaran pengisian semula buku tempahan 2026 sebanyak RM600 juta.
"Buku tempahan semasa kini RM907 juta, dengan sumbangan terbesar menerusi segmen pengagihan tenaga (38%), diikuti tenaga solar (34%), ELP (26%) dan perdagangan (1%)," tambah Phillip Capital.
Firma itu berpandangan, kemenangan kontrak baharu mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemain utama pembangunan DC, selain menyokong prospek pertumbuhan hasil dalam tempoh dua tahun lagi.
Ujarnya, berdasarkan anggaran nilai kontrak ELP diraih Pekat sekitar RM300,000 bagi setiap megawatt, DC yang berkapasiti 7GW bakal mewujudkan peluang pasaran bernilai hingga RM2 bilion.
Bagaimanapun kata Phillip Capital, buku tempahan ELP syarikat itu berjumlah RM240 juta hanya 15% daripada keseluruhan potensi, dengan ruang masih luas untuk memperoleh banyak kontrak baharu.
"Selain itu, cadangan pemindahan kumpulan itu ke Pasaran Utama Bursa Malaysia dilihat berpotensi menjadi pemangkin penarafan semula saham melalui peningkatan penyertaan pelabur baharu," jelasnya.
Penyenaraian itu turut memberi kecairan dagangan lebih baik serta peluang kemasukan ke dalam indeks, walaupun Pekat masih berdepan pelbagai risiko yang perlu dipantau. - DagangNews.com








