KUALA LUMPUR 25 Jun – Pegawai kanan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Rostam Shahrif Tami didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas pertuduhan kerana gagal melaporkan penerimaan rasuah yang berlaku dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad berkata, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM100,000 atau 10 bulan penjara sekiranya gagal membayar.
Rostam juga mempunyai kaitan dengan Turnpike Synergy Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).
Pertuduhan pilihan itu dikemukakan selepas Jabatan Peguam Negara mempertimbangkan rayuan bertulis yang dikemukakan oleh tertuduh bulan lalu.
Beliau didakwa gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) penerimaan wang tunai sebanyak RM90,000 daripada Rosman Alias, yang mewakili Satunas Technologies Sdn Bhd, sebagai balasan bagi pemberian kontrak.
Kesalahan itu dilakukan di Restoran Bayou Diner 51, Puchong pada 20 Februari 2023.
Mahkamah turut memerintahkan agar wang dirampas itu yang berjumlah lebih RM1 juta, dilucut hak kepada kerajaan.
Ia termasuk cagaran bernilai RM114,000 untuk tujuh jam tangan mewah dan dua kereta, serta RM180,000 dalam akaun Tabung Haji milik tertuduh.- DagangNews.com








