PDRM guna kenderaan perisai IAG Guardian tingkatkan keselamatan di sempadan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PDRM guna kenderaan perisai IAG Guardian tingkatkan keselamatan di sempadan

PDRM akan menggunakan kenderaan perisai IAG Guardian bagi meningkatkan keselamatan di sempadan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 17 Feb - Kenderaan perisai IAG Guardian 4x4 Extreme buatan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal menjadi aset baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibekalkan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA).

 

Sebanyak 4 buah kenderaan ini sedang disiapkan sebelum penyerahan rasmi dilakukan dalam masa terdekat.

 

PGA akan mengoperasikan kenderaan berkenaan bagi mempertingkatkan tahap keselamatan negara terutamanya mengekang pencerobohan di sempadan negara.

 

 

Varian yang dimiliki PDRM juga adalah yang terbaharu iaitu kenderaan perisai lima pintu termasuk pintu di bahagian belakang.

 

Kenderaan

 

Bagaimana pun, tiada senjata atau kupola dipasang pada kenderaan ini.

 

PDRM menerusi kenyataan memberitahu, sesi pemeriksaan sebelum penghantaran (PDI) kenderaan itu telah dilakukan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di International Armoured Group (IAG), Ras Al-Khaimah UAE.

 

Menurut kenyataan itu, lawatan pemeriksaan selama 3 hari bermula 15 Februari bagi memastikan kenderaan yang dibekalkan oleh pembekal, Global Komited Sdn. Bhd. (Global Komited) mematuhi spesifikasi ditetapkan.

 

Ia sebagaimana dalam perjanjian sebelum sesi penghantaran dan pemeriksaan akhir di depoh kenderaan PDRM.

 

“Lawatan tersebut dimulakan dengan taklimat ringkas kepada delegasi PDRM oleh Presiden IAG, Dr. Anton Stefov mengenai pengenalan syarikat pengeluar kenderaan.

 

Kenderaan
Razarudin (tengah) bersama delegasi PDRM semasa mengadakan lawatan ke fasiliti IAG di UAE.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

“Kemudian Ketua Pegawai Operasi Global Komited, Datuk Ir. Mohd Nasser Israil memberi taklimat berkenaan kenderaan yang dibekalkan,” ujar kenyataan tersebut.

 

Menyertai delegasi ini ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), Dato' Sri Azmi Abu Kassim dan Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, DCP Gilberd Philip Layang.

 

Razarudin bersama delegasi turut melawat kilang dan membuat pemeriksaan fizikal terhadap kenderaan-kenderaan tersebut.

 

Delegasi PDRM juga berpeluang menaiki kenderaan jenis APC itu bagi melihat sendiri kemampuan kenderaan yang bakal digunakan kelak.

 

Terdahulu, perolehan kenderaan tersebut telah diluluskan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-12.

 

Kenderaan
Kenderaan IAG Guardian 4x4 yang diguna pasukan Malbatt di Lebanon.

 

Kenderaan

 

Bagaimana pun, jumlah sebenar kontrak ini tidak dinyatakan.

 

Dipercayai pemilihan kenderaan perisai ini kerana reputasi selain telah digunakan dalam beberapa konflik dan operasi serta terbukti keupayaan.

 

Kenderaan IAG Guardian 4x4 juga diguna oleh pasukan tentera pengaman Malaysia di Lebanon menggantikan sebahagian Radpanzer Condor.

 

IAG Guardian mempunyai perlindungan balistik STANAG 4569 Tahap 2 dan perlindungan letupan.

 

Ia menggunakan enjin 6.7L V8 Diesel (330hp) dengan transmisi automatik 10 kelajuan. 

 

Kenderaan
Kenderaan perisai Barracuda APC milik PGA.

 

Kenderaan
Kenderaan IAG Jaws PDRM.

 

Sebelum ini, syarikat Global Komited juga telah membekalkan 15 buah kenderaan perisai IAG Jaws kepada PDRM pada tahun 2015 yang kini digunakan pasukan 69 Komando.

 

Selain itu, PDRM juga mengoperasikan beberapa jenis kenderaan perisai bagi penugasan yang berbeza seperti Typhoon 4x4, Barracuda APC, V-150 dan Sankey AT-105. - DagangNews.com