PayNet catat 8.44 bilion transaksi pembayaran digital pada 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PayNet catat 8.44 bilion transaksi pembayaran digital pada 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 April – Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) merekodkan sebanyak 8.44 bilion transaksi pembayaran digital pada tahun 2025, mencerminkan peningkatan ketara dalam penggunaan pembayaran digital yang kini menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

 

Peningkatan ini didorong oleh penerimaan yang semakin meluas dalam kalangan bank, institusi bukan bank, perniagaan serta pengguna individu, sekali gus memperlihatkan perubahan besar dalam cara urus niaga kewangan harian dijalankan di negara ini.

 

Menurut PayNet, transaksi yang direkodkan merangkumi pelbagai kegunaan termasuk pembelian runcit, pembayaran bil, pengangkutan, pemindahan wang antara individu serta urus niaga perniagaan kecil dan sederhana.

 

Perkembangan ini juga selaras dengan agenda pembayaran digital negara yang digariskan oleh Bank Negara Malaysia menerusi Pelan Induk Sektor Kewangan 2022–2026, yang memberi penekanan kepada keterangkuman, keselamatan serta kecekapan sistem pembayaran negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan berkata pertumbuhan berterusan ini mencerminkan perubahan tingkah laku pengguna yang semakin selesa menggunakan kaedah pembayaran digital dalam kehidupan seharian.

 

Beliau berkata, kerjasama antara bank, institusi bukan bank, peniaga dan kerajaan telah mempercepatkan inovasi serta memperkukuh ekosistem pembayaran digital negara.

 

“Dari segi penggunaan, jumlah transaksi oleh bank meningkat sebanyak 30.69 peratus, manakala institusi bukan bank mencatatkan peningkatan lebih tinggi iaitu 71.7 peratus, menunjukkan penyertaan yang semakin meluas dalam ekosistem ini.

 

“Secara keseluruhan, purata transaksi harian mencecah 6.3 juta pada tahun 2025, dengan peningkatan ketara dilihat terutamanya semasa musim perayaan dan cuti hujung tahun apabila aktiviti perbelanjaan lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t
Praveen Rajan

 

PayNet turut memaklumkan sebanyak 681,250 lokasi baharu menerima DuitNow QR diperkenalkan, termasuk lebih 267,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjadikan jumlah keseluruhan lokasi penerimaan melebihi tiga juta di seluruh negara.

 

Penggunaan pembayaran digital juga menunjukkan pertumbuhan ketara di kawasan luar bandar, khususnya di Terengganu, Kelantan dan Kedah, dengan jumlah transaksi meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

 

Dalam masa sama, PayNet terus memperkukuh ekosistem melalui pelbagai inisiatif seperti PayNet Digital Campus, Cashless Boleh serta PayNet Fintech Hub bagi memperluas penggunaan dan inovasi dalam pembayaran digital.

 

Dari sudut keselamatan, PayNet menegaskan usaha memperkukuh perlindungan pengguna terus dipertingkatkan susulan peningkatan risiko penipuan kewangan yang semakin canggih termasuk penggunaan kecerdasan buatan dan teknik kejuruteraan sosial.

 

Bagi menangani isu itu, platform National Fraud Portal (NFP) digunakan untuk mempercepat perkongsian maklumat antara institusi kewangan serta membantu pengesanan akaun keldai dan pemulangan dana kepada mangsa penipuan.

 

PayNet turut memaklumkan rangkaian sistemnya kini memproses purata 260 transaksi sesaat dengan tahap ketersediaan sistem sebanyak 99.995 peratus, sekali gus memastikan kestabilan infrastruktur pembayaran negara kekal tinggi.

 

Dalam perkembangan lain, transaksi QR rentas sempadan turut meningkat 2.5 kali ganda kepada 29.7 juta transaksi pada 2025, didorong oleh sambungan dengan beberapa negara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Kemboja dan China, dengan India dijangka menyusul pada 2026.

 

Secara keseluruhannya, PayNet menyifatkan perkembangan ini sebagai petanda ekosistem pembayaran negara yang semakin matang, inklusif dan berhubung di peringkat serantau, selari dengan aspirasi Malaysia ke arah ekonomi digital yang lebih maju dan selamat. - DagangNews.com