PayNet, Alipay+ dan Weixin Pay jalin kerjasama galak pelancong China guna DuitNow QR | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PayNet, Alipay+ dan Weixin Pay jalin kerjasama galak pelancong China guna DuitNow QR

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 25 Jun – Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menjalinkan kerjasama strategik dengan Alipay+ dan Weixin Pay, bagi menggalakkan perbelanjaan pelancong China dan Asia sempena cuti musim panas.

 

Ketua Pegawai Pemasaran PayNet, Gary Yeoh berkata, dengan kemudahan DuitNow QR, peniaga kecil berpeluang mendapat akses kepada kuasa beli global tanpa perlu menambah sistem pembayaran baharu.

 

Kerjasama itu membolehkan pelancong yang menggunakan AlipayCN dan Weixin Pay membuat pembayaran di Malaysia dengan hanya mengimbas DuitNow QR tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan. 

 

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, kempen itu berperanan penting dalam mencapai sasaran kedatangan enam juta pelancong dari China tahun ini.

 

"Pelancong kini dapat menikmati pengalaman berbelanja yang lebih lancar dan menyeronokkan, sekali gus membuka peluang besar kepada perniagaan tempatan serta menaikkan ekonomi pelancongan negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sistem itu kini berada lebih di 2.5 juta lokasi termasuk restoran, hotel, kedai cenderamata, malahan ia juga memberi kelebihan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menarik pelancong.

 

Langkah tersebut turut menyokong aspirasi Malaysia sebagai peneraju pelancongan tanpa tunai serta mempercepat peralihan perniagaan kepada sistem pembayaran digital.

 

Pelbagai inisiatif ditawarkan termasuk peluang memenangi pengalaman menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris di Hong Kong, diskaun eksklusif untuk makanan, dan kempen pengumpulan lencana bertemakan budaya Malaysia yang boleh ditebus kepada kupon diskaun bagi pengguna Weixin Pay.

 

Pelancong juga berpeluang menikmati kadar tukaran wang asing yang istimewa apabila membuat pembelian di Malaysia menggunakan DuitNow QR.

 

Sasaran bagi tahun ini untuk meningkatkan jumlah transaksi DuitNow QR melalui Alipay+ dan Weixin Pay sebanyak lebih 130% berbanding tahun sebelumnya.- DagangNews.com