Pasaran sewa rumah Malaysia kekal stabil pada suku pertama 2025 - Juwai IQI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran sewa rumah Malaysia kekal stabil pada suku pertama 2025 - Juwai IQI

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pasaran sewa di Malaysia, seperti kekal stabil pada suku pertama tahun 2025 iaitu bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

 

Laporan Juwai IQI itu adalah hasil analisis terhadap lebih 4,500 transaksi sewaan yang direkodkan setiap tiga bulan di seluruh Malaysia.

 

Syarikat hartanah global itu berkata, kadar sewa bagi empat kategori kediaman tidak melebihi 1.5% berbanding tahun lalu dan ia menunjukkan pasaran yang seimbang tanpa kadar turun naik yang ketara.

 

Kuala Lumpur kekal sebagai pasaran sewa termahal di negara ini.

 

Untuk rumah dalam kategori mampu milik (iaitu sewa bawah RM2,500 sebulan), kadar sewa purata di Kuala Lumpur ialah RM1,808 sebulan iaitu 8% lebih tinggi dari purata seluruh negara.

 

Bagi kategori premium pula (harga lingkungan RM5,001-RM7,500), kadar sewa meningkat ke purata RM6,344 sebulan. 

 

Peningkatan kecil ini turut dicatatkan di Kuala Lumpur (0.5%) dan Selangor (1.1%), menunjukkan permintaan berterusan bagi unit bersaiz besar yang menyediakan kemudahan sesuai untuk golongan profesional.

 

Sewaan bagi unit mampu milik pula kekal stabil di seluruh negara dan meningkat 3.2% di Selangor, menandakan permintaan kukuh dalam kalangan penyewa yang berpendapatan rendah.

 

Untuk rumah sewa kategori pertengahan (RM2,501-RM5,000) pula telah mencatat penurunan kecil sebanyak 1.4%. 

 

Ia memberi peluang kepada penyewa untuk naik taraf rumah yang besar atau selesa tanpa bayaran terlalu mahal.

 

Namun, penurunan itu tidak memberi kesan besar kepada pemilik rumah, kerana mereka masih boleh memperoleh pulangan sewa yang memuaskan.

 

Dalam pada itu, Juwai IQI menjangka pertumbuhan sewa sederhana antara 1% hingga 3% dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan Kuala Lumpur dijangka memacu pertumbuhan diikuti Johor.

 

Kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia yang dijangka kekal pada 3.0% juga dijangka menyokong kestabilan pasaran dengan mengawal kos pembiayaan.

 

Juwai IQI turut menjangka kadar sewa dalam segmen sub-RM2,500 akan kekal stabil dengan keseimbangan bekalan dan permintaan manakala segmen pertengahan (RM2,501–RM5,000) pula akan pulih perlahan dengan sokongan gaji dan penghijrahan ke Lembah Klang dan Johor Bahru.

 

Selain itu, segmen premium (RM5,001–RM7,500) dijangka naik 2%-4% didorong oleh kemasukan ekspatriat dan penawaran baharu yang terhad.

 

Bagi kediaman mewah berharga RM7,501 ke atas, ia dijangka kekal berdaya tahan dengan kadar sewa yang stabil.- DagangNews.com