KUALA LUMPUR 6 April — Harapan terhadap potensi gencatan senjata yang akan mengakhiri kemelut konflik di Timur Tengah mencetuskan kenaikan pasaran saham global, termasuk sekali di Malaysia.
Laporan Bloomberg yang memetik beberapa penganalisis diberitahu, ketidaktentuan geopolitik namun dijangka masih berterusan dan menjadi antara risiko utama kepada sentimen pelabur jangka pendek.
Pelabur katanya, kembali memasuki pasaran ekuiti secara berhati-hati susulan laporan Iran berusaha ke arah gencatan senjata selama tempoh 45 hari, dan berpotensi menamatkan ketegangan di rantau tersebut.
"Indeks MSCI Asia Pasifik meningkat 0.4%, manakala niaga hadapan S&P 500 Index bertukar positif dengan naik 0.3%, dipacu terutama saham teknologi," katanya memetik sumber Maybank Securities di Malaysia.
Harga minyak mentah penanda aras global, Brent pula susut daripada paras tertinggi harian selepas melonjak 2.6%, sebelum ditutup dengan naik sekitar 0.6% kepada kira-kira AS$110 (RM443) setong.
Sentimen pasaran turut disokong oleh peningkatan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, laluan kritikal penghantaran minyak dunia, walaupun aliran trafik di perairan itu masih lagi rendah berbanding kebiasaan.

Bagaimanapun kata Bloomberg, ketidaktentuan di Timur Tengah adalah kekal tinggi apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan mengeluarkan ancaman baharu terhadap kerajaan Iran.
"Ini termasuk kemungkinan menyerang infrastruktur tenaga negara berkenaan sekiranya rundingan bagi gencatan senjata gagal," jelas Bloomberg memetik analisis diterbitkan Lombard Odier di Singapura.
Penganalisis pasaran ujarnya, menyifatkan pelabur lebih sensitif terhadap sebarang perkembangan berita semasa, khususnya berkaitan risiko gangguan bekalan tenaga global dan tekanan inflasi.
Dalam pada itu, harga emas pula susut 0.6% kepada sekitar AS$4,650 (RM18,755) seauns, mencerminkan perubahan risiko pelabur, manakala hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun meningkat kepada 4.35%.
Perhatian pasaran ketika ini jelas Bloomberg tertumpu kepada perkembangan rundingan diplomatik dan risiko konflik sekali lagi, khususnya isu keselamatan laluan perdagangan utama di Teluk Parsi.
"Pemerhati pasaran berpandangan kenaikan semasa mungkin bersifat sementara, dengan para pelabur berisiko mendahului realiti geopolitik yang masih tidak menentu," katanya. - DagangNews.com








