Pasaran kewangan Malaysia kekal kukuh di tengah ketidaktentuan global, kata Jawatankuasa Pasaran Kewangan BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran kewangan Malaysia kekal kukuh di tengah ketidaktentuan global, kata Jawatankuasa Pasaran Kewangan BNM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Mac — Pasaran kewangan Malaysia kekal berdaya tahan di tengah ketidaktentuan global, disokong oleh aliran masuk dana asing daripada pengeksport dan pelabur, menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata aliran masuk daripada pengeksport serta pelaburan langsung asing (FDI) membantu mengimbangi aliran keluar daripada pengimport domestik.

 

“Secara keseluruhan, ahli FMC memerhatikan bahawa pasaran Malaysia menunjukkan daya tahan dalam tempoh ketidaktentuan global ini, namun kekal berwaspada terhadap risiko sekiranya konflik berpanjangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis selepas mesyuarat jawatankuasa tersebut pada 10 Mac lalu. Mesyuarat terakhir sebelum ini diadakan pada Oktober 2025.

 

Menurut FMC, walaupun ketidaktentuan meningkat susulan perkembangan berkaitan tarif serta tempoh dan tahap konflik yang berlarutan, pasaran kewangan domestik kekal relatif berdaya tahan berbanding turun naik global.

 

Katanya, ringgit kekal mencatat prestasi positif dengan kenaikan sebanyak 2.5% setakat tahun ini (YTD) sehingga 9 Mac, meskipun susut 1.8% berbanding dolar Amerika Syarikat sejak akhir Februari apabila pelabur beralih kepada aset selamat susulan konflik di Timur Tengah.

 

Jawatankuasa itu turut memaklumkan bahawa hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) penanda aras 10 tahun meningkat 11 mata asas, sejajar dengan kenaikan hasil bon global, namun masih berada berhampiran paras terendah dalam sejarah. Pada masa sama, indeks penanda aras FBM KLCI susut sekitar 2.5%, sekali gus menunjukkan kestabilan relatif pasaran ekuiti domestik.

 

Pasaran pertukaran asing (FX) dalam pesisir turut mencatatkan jumlah dagangan harian purata yang kukuh sebanyak AS$21.4 bilion (RM84.04 bilion) setakat tahun ini, berbanding purata AS$19.8 bilion pada 2025.

 

“Permintaan terhadap bon kerajaan kekal sihat dengan hasil MGS yang relatif stabil, disokong oleh permintaan pelabur domestik dan bukan pemastautin. Ini dapat dilihat melalui nisbah bidaan kepada liputan (BTC) yang kukuh pada kadar purata 2.7 kali bagi tiga lelongan bon kerajaan terkini (purata YTD 2026: 2.3 kali),” katanya.

 

Pegangan MGS oleh pelabur bukan pemastautin turut meningkat sebanyak RM920 juta setakat tahun ini dan kekal stabil pada paras 21.2%.

 

Pada masa sama, pasaran ekuiti domestik juga mencatat aliran masuk pelabur asing sebanyak RM1.5 bilion setakat tahun ini.

 

Sehubungan itu, FMC menjangkakan sentimen pelabur yang positif serta kekuatan ringgit akan terus berkekalan sepanjang 2026.

 

Dalam perkembangan berkaitan, jawatankuasa itu turut mengalu-alukan komitmen Bank Negara Malaysia, termasuk usaha terkini seperti program Qualified Resident Investor (QRI) serta penglibatan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor korporat.

 

“Inisiatif ini, bersama sentimen positif yang dijana daripada prospek pertumbuhan Malaysia yang menggalakkan serta usaha reformasi struktur, dijangka terus menyokong aliran dua hala yang konsisten dan sihat dalam pasaran,” kata FMC. - DagangNews.com