Paris Baguette lebarkan sayap ke UAE hasil kerjasama Berjaya Food International dan Samaya Food Investments | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paris Baguette lebarkan sayap ke UAE hasil kerjasama Berjaya Food International dan Samaya Food Investments

Gambar/FB Paris Baguette
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Feb - Anak syarikat Berjaya Food Bhd, Berjaya Food International Sdn Bhd (BFI), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Samaya Food Investments L.L.C untuk membawa jenama kafe bakeri Paris Baguette ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Perkongsian strategik itu bukan hanya bertujuan memperkenalkan pengalaman Paris Baguette ke pasaran UAE, tetapi juga menyediakan produk bakeri dan kafe berkualiti premium yang menjadikan jenama tersebut terkenal di seluruh dunia. 

 

Kemasukan jenama itu ke UAE akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penawaran bakeri berkualiti tinggi dan pengalaman makanan premium di rantau berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food, Datuk Sydney Quays berkata, kerjasama tersebut menandakan satu langkah penting ketika syarikat meluaskan jejaknya melangkaui ASEAN dan menerokai pasaran Asia Barat yang dinamik.

 

berjaya

 

"Kami teruja bekerjasama dengan Samaya Food Investments untuk membawa tawaran tersendiri Paris Baguette ke UAE. 

 

"Ia dibuat selepas BFI mengumumkan peluasan operasi ke Thailand dan Brunei sebagai sebahagian daripada pertumbuhan strategik kami di ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Samaya Food Investments, Amer Al Ahbabi pula berkata, sebagai pemegang francais induk dan pengendali Kenny Rogers Roasters di UAE dan Arab Saudi, syarikat berharap dapat mencapai kejayaan yang sama dengan Paris Baguette.

 

"Kami berbesar hati membina perkongsian dengan BFI. Kepercayaan dan kerjasama antara kedua-dua syarikat telah dibina selama bertahun-tahun melalui perkongsian dengan Berjaya Corporation, yang terus menginovasi pengalaman Kenny Rogers Roasters dan mengembangkan rantaian di peringkat global," ujarnya.

 

Tarikh pembukaan dan lokasi cawangan Paris Baguette yang pertama di UAE akan diumumkan kemudian. - DagangNews.com