Paramount sasarkan projek RM1.4 bilion, fokus kepada pembangunan perumahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paramount sasarkan projek RM1.4 bilion, fokus kepada pembangunan perumahan

Gambar/FB Paramount Corporation Berhad

KUALA LUMPUR 5 Mac - Paramount Corporation Bhd merancang untuk melancarkan projek bernilai RM1.4 bilion tahun ini, dengan tumpuan kepada pembangunan perumahan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, pelancaran baharu itu akan merangkumi gabungan hartanah kediaman bertanah dan bangunan tinggi, dengan fokus kepada segmen perumahan mampu milik dan pertengahan di kawasan-kawasan strategik.

 

"Pembangunan ini dijangka dapat memenuhi permintaan perumahan yang tinggi sambil memastikan aliran tunai yang stabil dan pertumbuhan pendapatan yang mampan untuk syarikat," katanya semasa membentangkan keputusan kewangan tahun kewangan Paramount, seperti laporan The Sun.

 

Beliau berkata, keutamaan syarikat masih kekal untuk menyiapkan projek-projek terdahulu bagi mengiktiraf pendapatan daripada jualan yang belum ditagih berjumlah RM1.6 bilion.

 

"Walaupun kami melihat pertumbuhan jualan yang stabil daripada projek yang dilancarkan tahun lepas, kami mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengurangkan jumlah pelancaran projek baharu.

 

"Pada masa yang sama, pengurusan aliran tunai tetap menjadi fokus utama kami, memastikan fleksibiliti kewangan dan bukannya membayar pinjaman bank dengan agresif, sementara strategi pembayaran dividen masih dalam perbincangan," jelasnya.

 

Sun Teong menambah, dari segi pemerolehan tanah, syarikat telah membeli tanah bernilai RM45 juta tahun lalu dan masih dalam perbincangan untuk pembelian tambahan.

 

"Prestasi jualan yang lebih baik daripada jangkaan pada 2024 mendorong syarikat untuk membeli lebih banyak tanah. Ini penting kerana syarikat masih mempunyai projek yang bernilai RM5.5 bilion untuk dibangunkan. 

 

"Untuk memastikan projek-projek ini dapat diteruskan dan disiapkan dalam tempoh empat tahun akan datang, pembelian tanah diperlukan, dengan sasaran pendapatan RM1.2 bilion pada tahun ini," ujarnya.

 

Beliau mendedahkan, Paramount menyasarkan untuk memperoleh GDV tanah sebanyak RM2 bilion tahun ini, yang memerlukan kira-kira RM400 juta untuk pembelian tanah.

 

Jelasnya, tanah baharu yang dibeli akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun, bukannya disimpan untuk dijual kemudian.

 

Sun Teong pada masa sama berkata, pihaknya menjangkakan hampir RM1 bilion dalam aliran masuk tunai dan dengan pembiayaan bank sehingga 80%, Paramount boleh membeli tanah bernilai sehingga RM5 bilion. 

 

"Langkah untuk membeli tanah atau tidak masih dalam perbincangan, termasuk sama ada untuk memberi keutamaan kepada pembayaran dividen, pemerolehan tanah, pembayaran hutang atau pelaburan lain," katanya.

 

Beliau berkata, Paramount juga sedang menilai pelaburan berpotensi dalam Eco World International Bhd (EWI) sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat.

 

Beliau mengakui, pemegang saham telah mengemukakan soalan mengenai kesediaan syarikat untuk melabur lebih lanjut dalam EWI dan pihak pengurusan sedang aktif membincangkan potensi faedah dan risiko langkah tersebut.

 

"Kami memahami kebimbangan ini dan ini adalah sesuatu yang akan kami pertimbangkan bersama lembaga pengarah. 

 

"Menjelang pertengahan tahun, kami berharap dapat menentukan hala tuju yang lebih jelas sama ada strategi kami akan memfokuskan kepada pembayaran dividen yang lebih tinggi, pemerolehan tanah lanjut, atau pelaburan semula ke dalam usaha baharu seperti EWI," jelasnya.

 

Beliau menambah, walaupun EWI mempunyai pembangunan yang sedang berjalan di London dan Australia, prestasi kewangan dan potensi pasaran masa depannya akan menjadi faktor utama dalam proses membuat keputusan Paramount.

 

Sun Teong menegaskan, Paramount kekal komited untuk memperkukuh portfolio syarikat, dengan pendekatan seimbang terhadap aliran tunai, pengembangan aset dan pelaburan strategik pada 2025 dan seterusnya. - DagangNews.com