Paragon Globe perkukuh komitmen pembangunan lestari melalui kerjasama dengan GreenRE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paragon Globe perkukuh komitmen pembangunan lestari melalui kerjasama dengan GreenRE

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 11 April – Pemaju hartanah, Paragon Globe Berhad (PGB) mengukuhkan lagi komitmennya terhadap pembangunan lestari menerusi jalinan kerjasama strategik bersama GreenRE Sdn Bhd, peneraju penarafan bangunan hijau di Malaysia.

 

Melalui kerjasama itu, PGB bakal menerapkan amalan mampan secara menyeluruh dalam projek-projek masa hadapan bermula daripada reka bentuk, pembinaan sehingga kepada operasi. 

 

Langkah itu sekali gus membuka laluan bagi projek-projek PGB untuk mendapatkan pensijilan bangunan hijau menerusi sistem penarafan yang diiktiraf oleh GreenRE, dengan penekanan terhadap kecekapan tenaga, penjimatan sumber dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Sri Edwin Tan Pei Seng berkata, kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam agenda kelestarian kumpulan.

 

"Kami amat teruja dengan kerjasama ini kerana ia menandakan langkah besar dalam usaha menjadikan pembangunan kami lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. 

 

"Dengan mengguna pakai piawaian GreenRE, projek kami bukan sahaja sejajar dengan jangkaan global, malah memberi manfaat kepada para pemegang taruh dan komuniti sekeliling," katanya dalam satu kenyataan.

 

GreenRE ditubuhkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bagi memperkasakan industri hartanah melalui pensijilan bangunan hijau, Latihan, dan penyelidikan berkaitan kelestarian.

 

Sebahagian daripada kolaborasi itu, GreenRE akan menyediakan sokongan khusus kepada PGB dan anak-anak syarikatnya dalam usaha memperoleh pensijilan hijau bagi projek-projek akan datang.

 

Komitmen kukuh PGB terhadap kelestarian turut dizahirkan apabila Paragon Platinum Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PGB berjaya memperoleh Pensijilan Bronze Provisional GreenRE bagi pembangunan Desa 27 Plot 3 dan Plot 4. 

 

Manakala satu lagi anak syarikat milik penuh Paragon Bizhub Sdn Bhd, menerima Pensijilan Silver Provisional GreenRE bagi asrama pekerja mereka, PGB Hostel di Taman Perindustrian Pekan Nenas.

 

"Matlamat kami cukup jelas untuk mewujudkan bangunan yang mesra alam, praktikal untuk pelanggan, dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh. 

 

"Dengan sokongan dan kepakaran GreenRE, kami yakin mampu mencapai matlamat tersebut dan membawa impak positif serta berkekalan dalam setiap pembangunan yang kami laksanakan," kata Edwin.- DagangNews.com