Paragon Globe beli 3 lot tanah berharga RM11.48 juta di Kluang bagi pembangunan rumah mampu milik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paragon Globe beli 3 lot tanah berharga RM11.48 juta di Kluang bagi pembangunan rumah mampu milik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Paragon Globe Berhad menerusi Paragon Globe Properties Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Common Development (M) Sdn Bhd bagi membeli tiga lot tanah pegangan bebas berharga RM11.48 juta di Kluang bagi membangunkan perumahan mampu milik.

 

Kumpulan itu berkata, tanah berkenaan berkeluasan keseluruhan 11.48 hektar.  

 

Katanya, pemerolehan itu merupakan langkah strategik kumpulan bagi memenuhi keperluan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) untuk pembangunan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) seperti yang diluluskan Pusat Data dan Rancangan Negeri Johor (PDRC).

 

"Langkah ini sejajar dengan komitmen kami menyokong agenda pembangunan sosial dan ekonomi jangka panjang negeri Johor melalui penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti untuk rakyat,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, anak itu terletak di kawasan strategik di sepanjang Jalan Besar, Simpang Renggam dengan tanah tersebut dikelilingi kawasan kediaman, komersial dan perindustrian yang sedang pesat membangun. 

 

Lokasinya mempunyai akses mudah ke Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) serta kemudahan awam berhampiran, menjadikannya lokasi sesuai untuk projek kediaman berimpak tinggi.

 

Selain memperkukuh kerjasama dengan PKPJ dan Kerajaan Negeri Johor, pemerolehan itu akan memperluas portfolio pembangunan Paragon Globe, meliputi projek perumahan, perindustrian dan mampu milik, sekali gus memperkukuh asas pendapatan kumpulan serta profil pertumbuhan mampan jangka panjang.

 

Katanya, langkah itu akan memberi kesan positif terhadap pertumbuhan masa depan kumpulan memandangkan permintaan terhadap rumah mampu milik terus kukuh, disokong oleh pertumbuhan penduduk, urbanisasi dan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan pemilikan rumah bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

 

"Pembelian tanah tersebut dijangka selesai dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh perjanjian jual beli dimeterai," katanya. - DagangNews.com