Pakar industri ramal KWSP umum dividen lebih tinggi sekurang-kurangnya 6.2% pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pakar industri ramal KWSP umum dividen lebih tinggi sekurang-kurangnya 6.2% pada 2024

KUALA LUMPUR 12 Feb - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengisytiharkan dividen lebih tinggi sekurang-kurangnya 6.2 peratus bagi tahun 2024, berikutan pemulihan pasaran global dan domestik.

 

Pakar industri berkata, KWSP mendapat manfaat daripada keadaan pasaran yang semakin baik, ringgit yang lebih kukuh, serta pulangan yang lebih tinggi daripada aset pendapatan tetap.

 

Ketua Jabatan Sains Sosial dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan berkata, dividen KWSP untuk simpanan konvensional dijangka antara 5.8% hingga 6.2%, manakala untuk simpanan patuh syariah antara 5.4% hingga 5.6%.

 

 

"Purata dividen KWSP untuk 10 tahun adalah sekitar 6%, jadi pulangan dalam julat ini adalah munasabah. Jika keadaan pasaran baik, angka lebih 6% mungkin tercapai, tetapi anggaran lebih berhati-hati adalah antara 5.8% hingga 6.2%," katanya kepada Business Times.

 

Jelas beliau, portfolio pelaburan KWSP yang pelbagai membolehkan dana tersebut mendapat manfaat daripada pemulihan pasaran tempatan dan antarabangsa, sementara ringgit yang lebih kukuh turut membantu mengurangkan kerugian daripada pelaburan luar negara.

 

"Bursa Malaysia telah menunjukkan prestasi yang baik dan pelaburan antarabangsa terutamanya di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, telah memberikan hasil yang menguntungkan. Pemulihan ekonomi Malaysia juga memberi kesan.

 

"Tahun lalu, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, didorong oleh pelaburan sektor swasta yang kukuh, peningkatan eksport yang berterusan dan permintaan domestik yang teguh," tambahnya.

 

 

EKSPONEN

 

 

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, pendapatan pelaburan kasar KWSP telah berkembang sebanyak 20 peratus antara Januari dan September 2024.

 

"Selain itu, pasaran ekuiti global secara amnya mencatatkan kenaikan dua digit di pasaran utama seperti di AS dan Eropah, manakala FBM KLCI meningkat sebanyak 12.9 peratus pada 2024.

 

"Oleh itu, sentiasa ada kemungkinan KWSP akan mengumumkan kadar dividen yang baik bagi tahun 2024," ujarnya.

 

Bagi tahun kewangan 2023, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi simpanan konvensional, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM50.33 bilion dan 5.40 peratus bagi simpanan patuh syariah, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM7.48 bilion, menjadikan jumlah pembayaran untuk tahun 2023 sebanyak RM57.81 bilion.

 

KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion pada tahun 2023, peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022. - DagangNews.com