Pahang sasarkan 15 juta pelancong jana RM13.48 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pahang sasarkan 15 juta pelancong jana RM13.48 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Gambar Malaysia Travel
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan – Pahang menyasarkan kehadiran 15 juta pelancong pada tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026  dengan tarikan utama berasaskan tiga kategori alam semula jadi iaitu tanah tinggi, taman negara dan pantai.

 

Sasaran itu dijangka menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM13.48 bilion bagi tahun 2026.

 

Kategori tanah tinggi merangkumi destinasi popular seperti Genting Highlands, Cameron Highlands, Bukit Fraser, Bukit Tinggi dan Janda Baik yang menjadi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.

 

Selain itu, Taman Negara pula menjadi tarikan utama pelancong antarabangsa, khususnya dari Eropah yang ingin menikmati keindahan alam semulajadi yang masih belum tercemar di Kawasan tersebut.

 

Destinasi tarikan pelancong dalam kategori pantai dan pulau termasuk Pulau Tioman, Cherating serta lebih 10 lokasi menarik sepanjang jajaran pantai di Pahang.

 

Selain daripada tiga kategori tersebut, Kerajaan Negeri Pahang dan Tourism Pahang turut mempromosikan Lipis Geopark, Merapoh, Tasik Chini, Tasik Bera, serta jajaran kereta api sebagai produk pelancongan tambahan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang Leong Yu Man berkata lebih 50 program dan acara pelancongan telah disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri bagi menarik kehadiran pelancong, dan dikemaskini dari masa ke semasa.

 

“Penggiat industri pelancongan di Pahang sudah bersedia dengan perkhidmatan terbaik untuk menawarkan pengalaman istimewa kepada pengunjung.

 

“Tiga kategori ini adalah antara kekuatan utama pelancongan di Pahang selain keunikan makanan tradisional, kebudayaan dan warisan seni turun temurun,” katanya. - DagangNews.com