Padini kekal prospek positif, prestasi 3QFY26 disokong jualan musim perayaan - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Padini kekal prospek positif, prestasi 3QFY26 disokong jualan musim perayaan - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Mei - Padini Holdings Bhd terus mengekalkan prospek positif bagi tahun kewangan 2026 apabila prestasi suku ketiganya disokong pemulihan jualan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.13 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 15 kali bersandarkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26F sebanyak 14.2 sen.

 

Bagi suku ketiga berakhir Mac 2026, Padini merekodkan hasil sebanyak RM624.5 juta, susut kecil 0.4% tahun ke tahun tetapi meningkat kukuh 29% berbanding suku sebelumnya.

 

Keuntungan bersih teras selepas kepentingan bukan kawalan (PATANCI) pula berjumlah RM64.7 juta, turun 12.5% tahun ke tahun namun melonjak 37.4% secara suku ke suku.

 

Prestasi itu menjadikan PATANCI teras bagi tempoh sembilan bulan FY26 kepada RM134.3 juta, mewakili 96% daripada unjuran setahun penuh firma penyelidikan dan 90% daripada jangkaan konsensus pasaran.

 

Menurut MBSB Research, keputusan tersebut dianggap masih dalam jangkaan memandangkan suku ketiga lazimnya menjadi tempoh paling kukuh bagi Padini susulan faktor bermusim.

 

“Pendapatan syarikat biasanya lebih tinggi pada suku ketiga disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya sebelum kembali sederhana pada suku keempat selepas musim perayaan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Secara sejarah, suku keempat hanya menyumbang sekitar 8% hingga 15% daripada keuntungan tahunan syarikat bagi FY24 hingga FY25.

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran pendapatan dikekalkan tanpa perubahan kerana pihaknya menjangkakan prestasi suku keempat FY26 akan kembali normal selepas musim perayaan selain pengguna masih berhati-hati dalam perbelanjaan budi bicara.

 

Menurutnya, persekitaran runcit dijangka terus mencabar berikutan tekanan kuasa beli, peningkatan kos operasi, inflasi, kadar faedah dan ketegangan perdagangan global.

 

“Ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik Iran turut berpotensi menjejaskan sentimen pengguna dan jangkaan inflasi,” katanya.

 

Dalam tempoh sama, Padini turut mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 1.8 sen sesaham bersama dividen khas 2.0 sen sesaham yang dijadual dibayar pada Jun 2026.

 

Dari sudut operasi, hasil syarikat bagi tempoh sembilan bulan FY26 susut 2.3% kepada RM1.51 bilion apabila lonjakan jualan musim perayaan pada suku ketiga masih belum mencukupi untuk mengimbangi momentum jualan yang lebih perlahan pada suku-suku terdahulu.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun melihat penilaian saham Padini masih menarik kerana diniagakan sekitar satu sisihan piawai di bawah purata tiga tahunnya selain disokong portfolio jenama yang kukuh serta profil dividen yang stabil. - DagangNews.com