Oxford Innotech jangka raih RM41.6 juta melalui penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oxford Innotech jangka raih RM41.6 juta melalui penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Jun - Penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu, Oxford Innotech Bhd (OXB), menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM41.6 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Julai 2025.

 

OXB yang berpusat di Pulau Pinang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan bersepadu termasuk komponen kejuruteraan tepat, pemasangan mekanikal serta rumusan automasi dan robotik. 

 

Syarikat itu beroperasi di lima kilang di Pulau Pinang dan Kedah dan menyokong sektor seperti semikonduktor, elektrik & elektronik (E&E), automotif dan sistem bangunan modular.

 

Pengarah Urusan OXB, Ng Thean Gin berkata, dana hasil IPO akan digunakan untuk membina kilang baharu seluas 67,722 kaki persegi yang dijangka siap pada 2027 serta membeli mesin baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

 

"Buat masa ini, kami juga akan menambah kapasiti kilang sedia ada dengan keluasan tambahan 39,392 kaki persegi yang dijangka mula beroperasi suku ketiga 2025," katanya dalam satu kenyataan.

 

Setelah penambahan dua kilang tersebut, jumlah keseluruhan keluasan kilang OXB akan meningkat 124.9% kepada 192,896 kaki persegi berbanding 85,782 kaki persegi sekarang.

 

IPO OXB melibatkan 143.5 juta saham baharu dan 50 juta saham sedia ada, menjadikan keseluruhan 193.5 juta saham atau 27.2% daripada modal syarikat selepas penyenaraian.

 

Daripada jumlah itu, sejumlah 35.5 juta saham dibuka kepada orang awam, 27 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan yang layak, manakala baki 81 juta saham diagihkan secara penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Dana RM41.6 juta yang dijangka diperoleh akan digunakan bagi tujuan berikut:

  •  RM23.1 juta (55.5%) untuk membina kilang baharu
  •  RM11.2 juta (26.9%) bagi pembelian atau pembiayaan semula mesin
  •  RM3.3 juta (8%) untuk modal kerja
  •  RM4 juta (9.6%) bagi menampung kos penyenaraian

 

Berdasarkan harga IPO 29 sen sesaham dan jumlah saham selepas penyenaraian sebanyak 710 juta, OXB dijangka memiliki nilai pasaran sekitar RM205.9 juta.

 

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, syarikat mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 87.6% kepada RM92.9 juta, manakala keuntungan bersih melonjak 93.7% kepada RM15.6 juta berbanding tahun sebelumnya.

 

Permohonan untuk menyertai IPO dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 16 Julai 2025.

 

Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bersama.

 

Kenanga Investment Bank pula berperanan sebagai ejen penempatan bersama, manakala WYNCORP Advisory adalah penasihat kewangan korporat. - DagangNews.com