KUALA LUMPUR 21 Mei – OSK Holdings Berhad terus memperkukuh kedudukan dalam pasaran hartanah wilayah utara Semenanjung Malaysia dengan menambah pegangan tanah di Kedah kepada 1,379.97 hektar.
Menurut kumpulan itu dalam kenyataan, perkembangan berkenaan dicapai menerusi pembelian tanah berstatus pegangan bebas berkeluasan 39.79 hektar di Sungai Petani yang bernilai RM40.69 juta.
Katanya, langkah pengambilalihan aset tersebut dilaksanakan melalui anak syarikat hartanahnya, OSK Property Holdings Berhad dan subsidiari tidak langsung kumpulan itu, OSK Properties Sdn Bhd.
"Langkah ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perbandaran baharu yang bersebelahan Bandar Puteri Jaya, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM489 juta," kata OSK Holdings.
Tanah berkenaan terletak berdekatan Yarra Park, dan ia dimajukan sebagai kesinambungan semula jadi kepada kejayaan perbandaran sedia ada yang dibangunkan oleh OSK Property di kawasan tersebut.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Ong Ju Xing berkata, ia merupakan langkah strategik mengukuhkan kehadiran kumpulan di Sungai Petani serta menyokong pelan pertumbuhan jangka panjang di Kedah.
“OSK Holdings berada pada kedudukan baik membangunkan perbandaran dirancang menyeluruh memenuhi keperluan komuniti yang semakin berkembang, di samping menyumbang pembangunan sekitar,” katanya.
Tambahnya, tapak itu memiliki kelebihan dari segi jaringan perhubungan kerana terletak berhampiran hab utama seperti Butterworth di Pulau Pinang serta Gurun, Alor Setar, dan Kulim, di Kedah.
Ia turut disokong kemudahan awam lengkap termasuk sekolah, pusat komersial, fasiliti kesihatan dan perkhidmatan keselamatan yang menjadikannya sesuai untuk pembangunan bercampur berskala besar.
Justeru, OSK Holdings berhasrat membina rumah teres dua tingkat, rumah bandar dan apartmen dengan fokus utama kepada penyediaan kediaman mampu milik khususnya bagi pembeli perumahan kali pertama.
"Permintaan terhadap kediaman mampu milik di Sungai Petani kekal kukuh hasil pertumbuhan aktiviti ekonomi setempat serta liputan kawasan tadahan penduduk yang besar di daerah Kuala Muda," katanya.
Pembangunan itu dijangka menyumbang positif kepada hasil kumpulan dalam tempoh sederhana, sejajar komitmennya membangunkan komuniti mampan serta mencipta nilai jangka panjang. - DagangNews.com








