OSK raih prestasi kukuh bagi 1QFY26, keuntungan bersih naik 11% kepada RM138 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OSK raih prestasi kukuh bagi 1QFY26, keuntungan bersih naik 11% kepada RM138 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 MeiOSK Holdings Berhad memulakan tahun kewangan 2026 (FY26) dengan prestasi kukuh apabila mencatatkan peningkatan hasil dan keuntungan selepas cukai (PAT) yang lebih baik.



Situasi positif tersebut disokong oleh faktor pertumbuhan stabil daripada segmen hartanah dan perkhidmatan kewangan di sebalik ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kos bahan mentah.


Kumpulan tersebut dalam satu kenyataan berkata, bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26), ia mencatatkan pendapatan RM434.7 juta, meningkat kira-kira 9% berbanding tempoh sama tahun lalu.


"Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula bertambah 13% kepada RM158.3 juta, manakala keuntungan bersih (PAT) yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat naik 11% kepada RM138 juta," jelas OSK lagi.


Prestasi lebih baik itu dipacu oleh peningkatan keuntungan operasi daripada segmen hartanah dan perkhidmatan kewangan serta sumbangan pelaburan tinggi daripada pegangan dalam RHB Bank Berhad.


Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ong Leong Huat menyifatkan prestasi suku pertama itu mencerminkan ketahanan model perniagaan kumpulan yang pelbagai serta disiplin pelaksanaan dalam segmen teras.


“Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global masih berterusan, kami terus melihat asas perniagaan yang stabil dalam segmen hartanah dan perkhidmatan kewangan,” katanya dalam kenyataan.



Segmen Hartanah Kekal Pemacu Utama

Segmen hartanah terus menunjukkan prestasi kukuh apabila mencatatkan PBT RM39.2 juta, meningkat kira-kira 26% disokong kemajuan jualan dan pembinaan projek pembangunan utama di seluruh negara.


Antaranya ujar OSK, termasuk perbandaran di Sungai Petani, Kedah dan Seremban, Negeri Sembilan selain projek kediaman bertingkat tinggi Puchong dan Shah Alam, Selangor serta di Kuala Lumpur.


Usaha sama (JV) pembangunan kumpulan di Melbourne Square, Australia jelasnya, turut mencatat kadar pengambilan 79% bagi Fasa 2, manakala Fasa 3 dikenali sebagai AURA dilancarkan pada April 2026.


"Setakat 31 Mac 2026, jumlah jualan belum dibilkan efektif kumpulan ini sudah berada pada RM1.4 bilion dengan unit inventori siap tidak terjual yang minimum dicatatkan oleh kumpulan," katanya.


OSK tambah kenyataan itu, turut mempunyai bank tanah yang berkeluasan 994.3 hektar dengan anggaran gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah sebanyak RM20 bilion di Malaysia dan Melbourne.


Dalam pada itu, segmen perkhidmatan kewangan merekodkan peningkatan hasil 11% kepada RM75.3 juta, manakala PBT meningkat 16% kepada RM35.7 juta, disumbangkan pertumbuhan portfolio pinjaman.


Bagaimanapun, segmen industri walaupun mencatat hasil 25% kepada RM150.8 juta, keuntungan menyusut akibat kerugian operasi kilang baharu di Johor Bahru selain peningkatan kos bahan mentah.


"Pada masa sama krisis Timur Tengah turut mengganggu bekalan bahan mentah polimer, sekali gus menyebabkan berlaku kenaikan harga bahan utama seperti polimer, tembaga dan aluminium," kata OSK.


Sehubungan itu, kumpulan tersebut juga menjangkakan ketidaktentuan harga bahan mentah di pasaran antarabangsa ketika ini akan terus berlarutan lama dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana.


Dalam segmen hospitaliti pula, PBT dicatatkan meningkat kepada sebanyak RM2.4 juta berikutan kos operasi dan penyelenggaraan yang lebih tinggi selepas kerja pengubahsuaian hotel diselesaikan.


OSK kekal berhati-hati terhadap prospek masa depan dengan memberi tumpuan strategi pertumbuhan, kecekapan operasi dan pengurusan kos yang berdisiplin bagi melindungi margin keuntungan. - DagangNews.com