OSK Holdings catat hasil RM1.9 bilion FY2025, umum dividen akhir 3.5 sen sesaham  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OSK Holdings catat hasil RM1.9 bilion FY2025, umum dividen akhir 3.5 sen sesaham 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 April - OSK Holdings Berhad (OSKH) mencatatkan peningkatan hasil 12% bagi tahun kewangan 2025 (FY2025) kepada RM1.9 bilion berbanding RM1.7 bilion pada tahun kewangan 2024 disokong oleh sumbangan daripada kebanyakan segmen perniagaan teras kumpulan.

 

Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata keuntungan sebelum cukai naik 4% kepada RM634.0 juta daripada RM611.4 juta sebelum ini.

 

"Seiring dengan prestasi yang lebih baik, OSK turut mengumumkan dividen akhir sebanyak 3.5 sen sesaham, berbanding 3.3 sen pada tahun sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY2025 kepada 6.0 sen sesaham (TK2024: 5.3 sen).

 

"Ini mencerminkan nisbah pembayaran dividen sebanyak 32%, meningkat daripada 31% pada tahun sebelumnya," kata kenyataan itu.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan OSK, Tan Sri Ong Leong Huat berkata, prestasi kukuh tersebut mencerminkan keberkesanan strategi kepelbagaian perniagaan yang diamalkan kumpulan.

 

“Prestasi kukuh ini disokong oleh kekuatan model perniagaan yang pelbagai. Ia membuktikan keberkesanan strategi kami dalam membina konglomerat yang seimbang dan berdaya tahan,” katanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-36 syarikat itu.

 

Beliau menambah pendekatan pertumbuhan mampan serta portfolio perniagaan yang pelbagai telah membantu kumpulan mencatat keputusan yang stabil meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

 

“Kenaikan dividen ini mencerminkan penghargaan kami kepada pemegang saham serta keyakinan terhadap prospek jangka panjang kumpulan,” katanya lagi.

 

OSK berkata prestasi positif itu turut disokong oleh semua segmen utama perniagaan yang terus menyumbang kepada pertumbuhan kumpulan sepanjang tahun kewangan berkenaan. - DagangNews.com