KUALA LUMPUR 9 Jan - Syarikat pengangkutan minyak dan gas, Orkim Bhdh memperoleh kontrak pengangkutan laut daripada pengendali stesen petrol Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, lebih dikenali sebagai BHPetrol.
Kontrak pengangkutan selama dua tahun itu dilengkapi dengan opsyen untuk dilanjutkan selama setahun lagi, menurut makluman syarikat itu kepada Bursa Malaysia.
Nilai kontrak tidak didedahkan kerana ia akan ditentukan berdasarkan penetapan kargo (cargo-nominations) yang dikeluarkan oleh BHPetrol sepanjang tempohnya — dari 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2027 — serta jadual kadar dalam kontrak.
Kontrak tersebut mengkehendaki Orkim menyediakan perkhidmatan pengangkutan laut untuk anggaran kuantiti 200,000 tan setahun, dengan ruang varians sebanyak plus atau minus 20%.
BHPetrol termasuk dalam kalangan lima pelanggan teratas Orkim, yang secara keseluruhan menyumbang lebih 90% daripada pendapatan syarikat.
Lain-lain pelanggan utama termasuk Petroliam Nasional Bhd, Kumpulan Shell, Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd dan syarikat Jepun, Nippon Gas Line Co Ltd.
Saham Orkim ditutup tidak berubah pada RM1.09 pada Khamis, menilai syarikat itu pada RM1.09 bilion. Syarikat ini membuat penyenaraian pertamanya di Pasaran Utama pada 9 Dis tahun lalu dengan harga tawaran awam permulaan sebanyak 92 sen. - DagangNews.com








