KUALA LUMPUR 4 Nov – Orkim Berhad menandatangani perjanjian taja jamin bersama CIMB Investment Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad dan Affin Hwang Investment Bank Berhad menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia sebelum penghujung tahun ini.
Tawaran awam permulaan (IPO) Orkim melibatkan 400 juta saham termasuk 300 juta saham sedia ada dan 100 juta saham baharu.
Daripada jumlah itu, 372 juta saham diperuntukkan untuk pelabur institusi, manakala 28 juta saham dibuka kepada orang awam melalui penawaran runcit.
Daripada penawaran runcit itu, 10 juta saham diperuntukkan khas untuk pelabur Bumiputera, manakala 8 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan pihak yang menyumbang kepada kejayaan syarikat.
Orkim dan kumpulan syarikatnya mengendalikani 18 kapal termasuk 16 kapal tangki produk petroleum bersih dan dua kapal tangki gas petroleum cecair.
Syarikat itu menyediakan perkhidmatan pengangkutan marin untuk produk CPP dan LPG di Malaysia serta negara Asia lain seperti Singapura, Filipina, Brunei, China dan Korea Selatan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Orkim, Kapten Cheah Sin Bi berkata, perjanjian itu menandakan langkah penting dalam transformasi syarikat.
“Ia menunjukkan keyakinan rakan kongsi kami terhadap asas perniagaan dan prospek pertumbuhan Orkim.
“Fokus kami tetap pada kecemerlangan operasi, pertumbuhan berdisiplin dan mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat yang dipercayai dalam sektor logistik marin negara,” katanya.
CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja Bersama, Penjamin Pengurusan, dan Penjamin Bersama manakala RHB Investment Bank Berhad dan Affin Hwang Investment Bank Berhad masing-masing bertindak sebagai Penaja Bersama dan Penjamin Bersama bagi IPO ini.- DagangNews.com








