KUALA LUMPUR 4 Mac – Penambahbaikan operasi di Singapura dan India yang dijangka bermula pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (FY26F) bakal menjadi pemacu utama kepada lonjakan keuntungan bersih IHH Healthcare Berhad sebanyak 15% hingga 16% tahun ke tahun bagi FY27F hingga FY28F.
CGS International (CGSI) berkata, unjuran itu jauh lebih kukuh berbanding pertumbuhan 7.9% yang dianggarkan bagi FY26F, didorong oleh peningkatan kecekapan operasi, kawalan kos lebih baik serta sumbangan lebih tinggi daripada fasiliti sedia ada di kedua-dua pasaran berkenaan.
"Sehubungan itu, saranan TAMBAH ke atas IHH Healthcare dikekalkan dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM9.85, berbanding penilaian terdahulu, selepas semakan menaik terhadap andaian margin EBITDA bagi FY26F dan FY27F," katanya dalam satu nota kajian.
Menurut CGSI lagi, semakan tersebut mengambil kira jangkaan pemulihan kos operasi yang lebih stabil serta pengembangan margin berterusan di Malaysia, Turkiye dan Eropah.
Sementara itu, firma penyelidikan itu telah menilai operasi tidak tersenarai kumpulan pada gandaan 15 kali EV/EBITDA FY27F, iaitu satu sisihan piawai melebihi purata sejarah, mengambil kira kelebihan pendedahan geografi yang pelbagai serta jangkaan pemulihan operasi di Singapura dan India pada separuh kedua FY26F.
Penambahbaikan tersebut dijangka menyokong pertumbuhan keuntungan bersih lebih kukuh sebanyak 15% hingga 16% yoy bagi FY27F hingga FY28F, berbanding 7.9% yang diunjurkan bagi FY26F.
Bagaimanapun, unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26F diturunkan 2.7% berikutan kesan susut nilai dan pelunasan (D&A) yang lebih tinggi, namun impaknya dijangka lebih sederhana mulai FY27F.
CGSI berkata, pengurusan turut menyasarkan pulangan atas ekuiti (ROE) dua digit menjelang FY28F, selain merancang menambah 4,000 katil baharu di seluruh kumpulan menjelang FY30F bagi menyeimbangkan pertumbuhan kapasiti dengan peluasan fasiliti penjagaan harian.
Antara pemangkin penarafan semula termasuk pemulihan margin di Singapura melalui pengisian katil di Hospital Mt. Elizabeth Orchard serta kejayaan integrasi operasi di India, manakala risiko penurunan merangkumi kelemahan mata wang operasi berbanding ringgit dan tekanan semula daripada pembayar yang boleh menjejaskan margin.
Mengenai prestasi suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25), IHH terus mempamerkan daya tahan perniagaan disokong kepelbagaian geografi, apabila keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) terasnya meningkat 33.8% tahun ke tahun (yoy) dan 6.4% suku ke suku (qoq).
Prestasi itu didorong penambahbaikan berterusan operasi di Malaysia, Turkiye dan Eropah, sekali gus mengimbangi cabaran yang dihadapi di Singapura dan India.
Di Malaysia, strategi peralihan kepada prosedur penjagaan harian mula membuahkan hasil apabila margin EBITDA meningkat 3.1 mata peratusan yoy dan 0.6 mata peratusan qoq kepada 28.5% pada 4Q25.
Menurut pengurusan, fasiliti penjagaan harian memerlukan sumber lebih rendah dari segi tenaga kerja dan ruang, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi.
Hasil daripada segmen penjagaan harian juga berkembang kira-kira 10% yoy pada FY25, walaupun pecahan terperinci tidak didedahkan.
Peningkatan fasiliti seperti pusat rawatan ambulatori dijangka membolehkan kapasiti wad bermalam digunakan bagi rawatan kes berakuiti tinggi yang menawarkan margin lebih baik.
Bagaimanapun, operasi di Singapura berdepan kelewatan dalam peningkatan kapasiti di Hospital Mt. Elizabeth Orchard, menyebabkan margin EBITDA susut 1.2 mata peratusan yoy dan 1.4 mata peratusan qoq kepada 26.9% pada 4Q25.
Di India pula, usaha penyepaduan operasi antara Fortis dan Gleneagles memberi kesan sementara kepada prestasi apabila margin EBITDA menurun 0.9 mata peratusan yoy dan 4.1 mata peratusan qoq. - DagangNews.com








