KUALA LUMPUR 2 Jan — Pelaburan berjumlah RM900 juta oleh Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd, melalui anak syarikatnya Singda Superalloy (Malaysia) Sdn Bhd di Johor, dijangka mewujudkan lebih 200 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi canggih.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata syarikat yang berpangkalan di Shanghai itu merupakan pemain utama dalam rantaian bekalan global untuk industri aeroangkasa, tenaga, dan kejuruteraan berat.
“Syukur Alhamdulillah. Bersama delegasi Johor, saya telah melawat Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd pada 17 Disember.
"Lebih menarik, pelaburan ini disokong oleh kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), termasuk peluang latihan, pembangunan bakat, serta sekurang-kurangnya 50 peluang pekerjaan graduan dengan pendedahan latihan di Malaysia dan China.
“Semoga usaha ini memberi manfaat kepada rakyat, membuka prospek masa depan untuk generasi muda, dan memacu Johor ke hadapan sejajar aspirasi Johor Maju 2030,” katanya dalam pernyataan di Facebook.
Beliau menambah, inisiatif ini bertujuan memastikan rakyat Johor menjadi penyumbang utama dalam industri masa depan, bukan sekadar tenaga kerja biasa.
Selain itu, perbincangan turut diadakan untuk membentuk kluster rantaian bekalan industri dengan rakan ekosistem strategik.
“Inisiatif ini dijangka memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada syarikat tempatan, perniagaan kecil dan sederhana (PKS), serta penyedia perkhidmatan di Johor, sambil mengukuhkan kedudukan negeri sebagai hab industri berteknologi tinggi yang kompetitif.
“Saya yakin inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada pelaburan berkualiti, penciptaan pekerjaan, peningkatan kemahiran bakat tempatan, dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang untuk Bangsa Johor,” katanya. - DagangNews.com








