Omesti lulus usul anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin kekal sebagai Pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Omesti lulus usul anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin kekal sebagai Pengarah

Foto Bernama
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 Mac — Majoriti pemegang saham Omesti Berhad menyokong kesemua resolusi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 di ibu negara hari ini kecuali Resolusi 4 yang ditarik balik.


Tumpuan utama terarah kepada kelulusan Resolusi 3 membabitkan pemilihan semula anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-'Abidin Ibni Tuanku Muhriz sebagai Pengarah syarikat itu.


Baginda yang juga Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu mendapat sokongan hampir sebulat suara daripada 67 pemegang saham mewakili 99.99% undi berbanding hanya enam menentang.


Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Omesti sejak 2020, dan pernah dilantik sebagai Pengerusi kumpulan tersebut pada 5 Ogos 2021 selain menjadi anggota jawatankuasa audit. 


Di samping itu, baginda turut dikenal pasti aktif dalam pelbagai organisasi termasuk sebagai Presiden Pengasas Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), dan Canselor UCSI University.


Lepasan Kuala Lumpur Alice Smith School itu merupakan graduan daripada Marlborough College serta London School of Economics and Political Science sebelum baginda berkhidmat di Parlimen Britain.


Selepas itu, Tunku Zain Al-'Abidin pernah berpindah pula ke Washington DC, Amerika Syarikat dan bertugas sebagai jururunding sektor awam di ibu pejabat Bank Dunia sebelum pulang ke tanah air pada 2008.


Dalam pada itu, Omesti menjelaskan, Resolusi 4 berkaitan pemilihan semula Tan Wee Hoong ditarik balik selepas beliau memaklumkan tidak akan menawarkan diri untuk dipilih semula sebagai pengarah.


Sementara itu, resolusi lain termasuk kelulusan yuran pengarah, pelantikan semula juruaudit, mandat terbitan saham serta urus niaga pihak berkaitan diluluskan dengan majoriti besar melebihi 99%.


Pengundian bagi semua resolusi itu dijalankan secara undian pada AGM di Kelab Golf Diraja Selangor dan disahkan oleh pemeriksa bebas, Cygnus Technology Solutions Sdn Bhd. - DagangNews.com