KUALA LUMPUR 13 April – OCR Group Berhad menjelaskan beberapa perkara tambahan berkaitan pelaksanaan perjanjian jual beli tanah antara anak syarikat milik tidak langsungnya, OCR Avenue Sdn Bhd (OASB), Magna Ecocity Sdn Bhd dan Twinicon (M) Sdn Bhd, susulan permintaan Bursa Malaysia Securities Berhad.
Ia berkaitan penjualan sebidang tanah pembangunan seluas 1.85 hektar di Shah Alam, Selangor pada harga RM45 juta.
Dalam makluman kepada Bursa, syarikat itu berkata projek asal di bawah perjanjian usaha sama (JV) yang dimeterai sebelum ini pada 2022 pada mulanya dirancang sebagai pembangunan hab logistik moden.
Bagaimanapun, pelan tersebut kemudian disemak semula berikutan proses penukaran zon guna tanah yang berpanjangan serta perubahan dalam landskap pasaran industri.
Menurut OCR, keadaan pasaran turut dipengaruhi lebihan bekalan gudang industri yang menyebabkan kumpulan itu menukar strategi pembangunan kepada projek komersial bercampur menjelang akhir 2025.
“Susulan perubahan itu, kumpulan mengambil keputusan untuk melupuskan sebahagian tanah projek tersebut.
“Perbincangan dengan pemilik tanah bermula pada Januari 2026, sebelum pihak pengurusan Magna Prima Berhad menyatakan minat untuk menambah pegangan tanah serta membangunkan projek sendiri di kawasan Shah Alam,” katanya dalam makluman itu.
OCR berkata tawaran kemudiannya dibuat kepada Magna Prima yang membawa kepada cadangan pelupusan tanah berkenaan. Memandangkan OASB mempunyai hak pembangunan melalui surat kuasa wakil (Power of Attorney) serta perjanjian JV, urus niaga dilaksanakan seolah-olah transaksi jual beli biasa dengan pembeli pihak ketiga.
Dalam masa sama, syarikat menegaskan bahawa pelupusan tanah tersebut tidak akan menjejaskan komitmen bayaran minimum kepada pemilik tanah di bawah perjanjian JV sedia ada. Semua struktur bayaran minimum kekal seperti yang dipersetujui sebelum ini tanpa sebarang perubahan.
OCR turut memaklumkan sebahagian besar bayaran kepada pemilik tanah telah diselesaikan mengikut jadual, manakala baki pembayaran terakhir dijangka dilunaskan dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan dalam perjanjian.
Bagi pembiayaan projek pula, kumpulan menjelaskan ia telah memperoleh kemudahan pinjaman daripada AmBank (M) Berhad berjumlah RM123 juta, dengan sebahagian besar telah digunakan bagi pembayaran komitmen awal kepada pemilik tanah serta pembiayaan kos berkaitan.
Syarikat turut menegaskan pelupusan sebahagian tanah ini dibuat bagi tujuan memperkukuh kedudukan kewangan, mengurangkan pinjaman tertunggak serta menyediakan modal kerja tambahan untuk pembangunan fasa seterusnya oleh kumpulan. - DagangNews.com








