NWE Resources rancang penyenaraian di Pasaran ACE pacu pengembangan produk kesihatan dan penjagaan diri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NWE Resources rancang penyenaraian di Pasaran ACE pacu pengembangan produk kesihatan dan penjagaan diri

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 AprilNWE Resources Group Berhad merancang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana sebagai usaha mempercepatkan pelan pengembangan perniagaannya.


Kumpulan produk makanan kesihatan dan penjagaan diri itu dalam prospektusnya berkata, cadangan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat tersebut melibatkan penerbitan 143.15 juta saham baharu.


Jumlah tersebut adalah bersamaan kira-kira 26.51% daripada keseluruhan pegangannya, tanpa ada melibatkan sebarang tawaran jualan semula oleh para pemegang saham sedia ada syarikat itu.


"Hasil kutipan IPO akan digunakan bagi menyokong pembangunan produk baharu, memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta aktiviti pemasaran dan promosi," jelas NWE Resources.


Selain itu jelasnya, kumpulan berkenaan turut merancang untuk melabur dalam pemerolehan pelbagai peralatan dan kenderaan pengangkutan bagi menyokong operasi yang syarikat yang semakin berkembang.


Sebagai sebahagian strategi pertumbuhan, kumpulan menyasarkan pembangunan enam formulasi makanan kesihatan dan lima produk penjagaan diri, dengan fokus khusus kepada segmen penjagaan kulit.


Di samping itu ujarnya, NWE Resources juga bercadang memperluaskan kehadiran di pasaran dengan aktif menyertai lebih banyak pameran perdagangan di dalam dan luar negara termasuk di China.


"Ditubuhkan sejak 1979 sebagai North West Enterprise, perniagaan syarikat ini asalnya terlibat dalam perdagangan makanan ternakan sebelum meneroka segmen penjagaan diri bermula 1987," katanya.


Syarikat berkenaan yang sebelum ini memberi tumpuan di pasaran Lembah Klang, seterusnya berkembang pesat kepada aktiviti pembungkusan semula makanan dan minuman pelbagai jenama pada awal 2000-an.


Bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Mac 2025, NWE Resources mencatat keuntungan bersih mencecah sebanyak RM6.9 juta dengan pendapatan sebelum cukai kira-kira RM43.49 juta.


Selepas penyenaraian, ia kekal dikawal oleh Agile Plan, iaitu syarikat pelaburan keluarga pengasas Tan, dengan pegangan 45.02%, manakala TCMBIO International Sdn Bhd akan memegang 24.81%.


Harga IPO belum dimuktamadkan, dengan KAF Investment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan penyenaraian tersebut. - DagangNews.com