Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat strategik Sidec | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat strategik Sidec

KUALA LUMPUR 4 Julai - Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai penasihat strategik Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

 

Pengumuman itu dimuat naik di media sosial agensi kerajaan negeri itu sempena sambutan 10 tahunnya.

 

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dilantik atas kapasitinya sebagai pengerusi eksekutif Polity, badan pemikir yang baru ditubuhkan.

 

 

 

 

Turut dilantik ke kedudukan sama ialah bekas naib presiden NVIDIA Corp dan Foxconn Lai Yit Loong dan Pengarah Foxconn Chiang Shang-Yi.

 

Sidec dalam satu kenyataan berkata, lantikan Nurul Izzah itu bertujuan “membawa wawasan bernilai dalam dasar awam, pembangunan sosioekonomi, dan pemerkasaan digital”.

 

Sidec juga berkata kesemua lantikan dibuat menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab inovasi serantau dan mempercepatkan ekosistem semikonduktor di Malaysia.

 

“Pelantikan ini juga merupakan mercu tanda strategik dalam mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pusat inovasi serantau,” katanya, lapor Malaysiakini.

 

Sambutan 10 tahun Sidec malam tadi dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

 

Sidec merupakan anak syarikat milik penuh Invest Selangor Berhad yang ditubuhkan bagi memacu transformasi digital negeri melalui tiga teras utama: e-dagang, pembangunan syarikat pemula (startup), serta bandar pintar dan digitalisasi.- DagangNews.com