KUALA LUMPUR 8 Julai - NuEnergy Gas Limited telah memulakan operasi penggerudian telaga gas metana arang batu (CBM) kedua iaitu, TE-B06002, di kawasan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Tanjung EnimTanjung Enim, Sumatera di bawah Pelan Pembangunan 1 (POD 1).
Kumpulan itu berkata, pembangunan itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha NuEnergy untuk menjadi pengeluar gas CBM komersial pertama di Indonesia.
Katanya, telaga TE-B06002 merupakan telaga kedua daripada empat telaga yang dirancang di bawah inisiatif jualan awal gas syarikat, yang menyasarkan jualan awal sebanyak 1 juta kaki padu standard gas sehari (mmscfd).
Ini susulan kejayaan penggerudian telaga pertama, TE-B06001, di mana NuEnergy telah memindahkan pelantar penggerudian hidraulik jenis "top drive" ke lokasi TE-B06002.
Operasi penggerudian (spudding) bagi telaga TE-B06002 bermula pada 7 Julai 2025.
ARTIKEL BERKAITAN: NuEnergy Gas selesai gerudi telaga TE-B06001 di Tanjung Enim, Sumatera
Telaga TE-B06002 akan digerudi secara menegak ke kedalaman anggaran 416 meter, menyasarkan beberapa lapisan arang batu pada kedalaman antara 245 hingga 370 meter. Telaga itu akan disiapkan menggunakan kaedah "open hole" — satu teknik terbukti berkesan untuk meningkatkan pemulihan gas dalam formasi CBM.

Terletak berdekatan telaga TE-B06001, telaga TE-B06002 dijangka dapat meningkatkan sambungan antara takungan dan seterusnya menambah baik produktiviti keseluruhan di kawasan tersebut.
“Telaga kedua ini membina momentum daripada kejayaan awal kumpulan dan menyokong komitmen kami untuk mencapai pengeluaran komersial.
“Kami akan terus memberikan maklumat terkini kepada para pemegang kepentingan apabila kerja penggerudian berjalan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Projek Tanjung Enim oleh NuEnergy kini menjadi tumpuan sebagai antara projek berpotensi besar dalam strategi kepelbagaian tenaga Indonesia, dengan menawarkan sumber gas yang lebih bersih dan lestari bagi memenuhi permintaan tenaga domestik. - DagangNews.com








