NuEnergy Gas selesai gerudi telaga TE-B06001 di Tanjung Enim, Sumatera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NuEnergy Gas selesai gerudi telaga TE-B06001 di Tanjung Enim, Sumatera

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - NuEnergy Gas Limited berjaya menyempurnakan kerja-kerja perggerudian telaga TE-B06001 dalam kawasan kontrak Rancangan Pembangunan 1 (Tanjung Enim POD 1) di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Tanjung Enim, di Sumatera Selatan, Indonesia.

 

Kumpulan itu berkata, telaga tersebut digerudi hingga kedalaman 411 meter dan menemui lima lapisan arang batu dengan jumlah ketebalan 47.5 meter pada kedalaman antara 283 hingga 406 meter.

 

Katanya, tanda-tanda kehadiran gas telah diperhatikan di permukaan melalui peralatan khas, sekali gus mengesahkan kewujudan metana dari lapisan arang batu (CBM) di beberapa lapisan.

 

"Telaga ini merupakan yang pertama daripada empat telaga di bawah inisiatif jualan gas awal NuEnergy, yang merupakan pembangunan CBM komersial pertama di Indonesia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

NuEnergy juga berjaya memasang sistem Pam Rongga Progresif (PCP) di lokasi telaga dan ia merupakan langkah penting ke arah pengeluaran gas yang stabil dan pengoptimuman prestasi telaga.

 

telaga

 

Katanya, sistem PCP yang dipasang itu menggabungkan teknologi pemantauan dan kawalan jarak jauh secara masa nyata, yang membolehkan pelarasan parameter pengeluaran berdasarkan data.

 

"Keupayaan itu dijangka dapat mengurangkan masa henti operasi, meningkatkan kecekapan operasi, dan menyokong pengoptimuman prestasi jangka panjang.

 

"Seperti yang dijangka, pengumpulan gas sedang berkembang secara berterusan seperti yang diperhatikan melalui tekanan dalam telaga dan gas akan dikumpulkan di kemudahan permukaan sebelum dihantar ke Loji Pemprosesan Gas setelah mencapai tahap pengeluaran yang disasarkan," katanya.

 

Selaras dengan Perjanjian Induk yang telah ditandatangani bersama PT Perusahaan Gas Negara Tbk (PGN), gas yang dihasilkan daripada telaga TE-B06001 dan telaga-telaga lain akan datang akan dihantar melalui saluran paip ke kemudahan pemprosesan dan pengedaran PGN.

 

Ia menandakan satu kemajuan besar dalam usaha menjana wang daripada aset NuEnergy dan membekalkan tenaga yang lebih bersih dari sumber tempatan kepada pasaran gas Indonesia. - DagangNews.com